Friday, January 22, 2016

Pisang Fakir

Pisang Fakir.
Sekejab je dah jumaat, alhamdulillah hari ini makan pisang percuma lagi di masjid. sejujurnya di rumah aku kami beli pisang berangan dan pisang emas 3 kali seminggu, tapi pisang masjid hari jumaat masih tersedap bagi aku, kerana tangan yang memberi sedekah itu ikhlas barangkali.
ya, aku dah lama tak update mengenai kisah pisang, biasalah sibuk akhir tahun dan awal tahun mengurus diri, pekerjaan dan keluarga (nota ; alasan popular).
sebenarnya beberapa minggu lalu aku ada kisah yang agak trajis mengenai pisang ini. begini kisahnya.
tengahari jumaat itu aku awal ke masjid, dan aku makan pisang sebelum mengambil wudhu'. sebiji, dua biji..... 7 biji. ala pisang emas kemetot lebihan orang bawa belayar, terpaksalah makan lebih sikit untuk mengalas perut aku yang memboyot ini. lebih makan bermakna lebih pahala kepada penderma pisang, bisik hati aku.
sambil makan pisang menggunakan tangan kanan, tangan kiri aku menguis dan memerhati duit syiling yang aku letak di atas meja. banyak, dalam 20 keping.
'Assalamualaikum bang", tegur satu suara. aku menjawab dan membalas salamannya. dia duduk disebelah aku yang kebetulan duduk jauh dari orang ramai. faham-faham ajelah, tak ramai orang makan pisang bila hari gaji.
"Ada apa-apa saya boleh tolong abang?", soalnya lembut dan perlahan. aku mengeleng dan menyatakan aku ok. aku turut mempersilakannya berjemaah makan pisang denganku.
"saya terus terang ye bang, saya tengok dari tadi abang kira syiling, berkerut-kerut muka, jika abang perlu bantuan, saya boleh sedekah setakat kemampuan saya. tak banyak tapi bolehlah abang teruskan hidup sehari dua", katanya perlahan. aku memandang wajahnya. aku yakin dia ikhlas ingin membantu orang miskin bandaraya macam aku.
aku tersenyum dan dan menepuk pahanya berkali-kali. "terima kasih dik. jika nak diikutkan duit, sampai matipun kita tak pernah cukup. tapi abang masih belum tergolong dalam asnaf yang perlukan bantuan." aku menjawab sambil merenung wajahnya.
"sebenarnya abang ini pengumpul duit lama dan menyimpan pelbagai koleksi syiling termasuk mengikut tahun, variati, kecacatan dan yang sukar diperolehi. jadi, sambil rilek makan pisang ni, abang tengok-tengoklah baki beli nasi kerabu pagi tadi ada tak syiling yang menarik. yang abang geleng-geleng kepala berkerut dahi tu mungkin sebab abang cari duit 10 sen 1971, yang dapat ni 10 sen 1981." kataku lagi.
sambil berbual aku turut menayangkan duit FATMAN yang kebetulan ku bawa untuk digrading. aku menyatakan bahawa sekeping duit perak fatman ini nilainya sekitar USD150. aku katakan jika terdesak dan tidak sanggup menggadai emas isteri, aku boleh jual syiling ini sekitar RM300-400, tentu berebut orang membelinya kerana ia disahkan syiling perak china asli Yuan Shih Kai tahun 1921. ramai peminatnya. dia bertambah melopong bila aku katakan aku mempunya ribuan duit syiling dan kertas lama serta koleksi nombor radar.
apabila azan berkumandang, aku meminta diri untuk berlalu. dia pula aku lihat termanggu disitu. sambil mengucapkan terima kasih atas sifat caknanya terhadap saudara seislamnya, aku menghulurkan kad namaku. dia segera mencapai tanganku sekali lagi dan meminta maaf.
siapa kata makan pisang percuma sekadar dapat kenyang? ia sebenarnya satu seni pemakanan yang sangat halus sama tarafnya dengan 'the arts of war' karya Sun Tzu.
moral of the story kali ini ialah, biar siapapun kita, pandanglah sekeliling, tengok dan bantulah saudara kita yang memerlukan. ia ibarat pisang seikat, gulai sebelanga, tanda muafakat bersama-sama.
mmm... apa agak jadi jika aku bagitau aku juga penulis buku "Jangan Sentap, Okey!'?
jenuh aku kena paksa jadi abang iparnya nanti. hahaha

No comments: