Monday, October 31, 2016

Papa tetap kekal di hati.

hari sabtu dan ahad saya pulang ke kampung saya di batu balai, jerantut untuk melawat keluarga dan meraikan majlis perkahwinan anak saudara saya.
semasa di majlis kenduri di kampung kelahiran saya di kampung damak, ramai kenalan arwah papa saya menegur saya. rata-rata masih mengenali saya biarpun saya sudah terlalu lama tidak berziarah ke rumah mereka. iyalah, mungkin kali terkahir saya bertemu mereka ini sewaktu saya masih bersekolah.
saya mengakui terasa malu tidak menegur mereka dahulu sedangkan mereka mengenai saya dan tahu pula nama saya. malah bapa pengantin perempuan yang anaknya berkahwin dengan anak saudara saya begitu gembira berjumpa dan berbual dengan saya biarpun dalam masa sama melayan tetamu yang hadir. ternyata saya masih dalam ingatan dan kenangan mereka.
bercakap mengenai kenangan, pagi ini kakak saya pula menyiarkan sekeping gambar arwah papa saya bersama kami 4 beradik. mungkin semasa ini saya masih bujang, entahlah.
dahulu, saya dan papa seringkali berbeza pendapat. dan ada kalanya sehingga kami tidak bertegur sapa berbulan-bulan. ya, saya akui ia salah, dan saya bersyukur tidak mati sebagai anak derhaka.
ya, papa membesarkan saya dengan kasar, namun dalam masa yang sama sangat memanjakan saya. apabila keinginan saya dibentak, saya akan cepat berkecil hati. papa juga begitu, jika saya tidak menelefon atau berziarah secara kerap, dia juga cepat terasa hati. pertembungan emosi ini seringkali menyakibatkan kami tidak bertegur sapa.
"kenapa balik rumah aku?", soal papa sewaktu saya dan isteri baharu tiba ke kampung setelah menempuh perjalanan jauh dari klang.
saya tidak jadi mengeluarkan barang dari kereta dan terus berkira-kira mahu pulang terus ke klang. isteri, emak dan emak saudara saya menangis dan memujuk saya supaya tidak terus pulang. kata mereka perangai orang tua memang begitu.
saya akur, dan menjauh diri dari bertembung dengan papa. sewaktu kami sekeluarga makan, papa keluar berlama-lama ke surau. apabila kami menonton tv, papa keluar menghisap rokok di beranda. lantaklah!
sedang leka melayan laptop di dalam bilik sedangkan isteri menyusui si kecil, baharu saya perasan anak lelaki saya luqman tiada bersama. dia ketika itu baharu enam tahun. saya cepat-cepat keluar bilik mencarinya. bimbang dia keluar sehingga ke jalan raya.
rupanya dia bersama papa saya menonton tv, rancangan bola sepak. saya cepat-cepat beredar bersembunyi apabila saya mendengar anak saya meminta air nescafe yang sedang di minum oleh datuknya itu. saya lihat papa saya bangun menuju ke dapur mengambil gelas kosong dan berkongsi air dengan cucunya. sesekali saya lihat mereka berdua bersorak dan si datuk mencium ubun-ubun si cucu. papa memang memarahi saya tetapi tetap mengasihi cucunya.
petang itu ketika papa saya minum petang sendirian di beranda, saya ke arahnya meminta maaf seraya memeluknya. saya tak tahu apa salah saya sehingga papa memarahi saya, tetapi saya yakin tentu ada yang mengguris hatinya. saya buangkan sahaja ego saya itu dan memohon maaf darinya. seperti dijangka banyaklah perkara yang disyarahkan kepada saya kerana rupanya papa berkecil hati kepada saya yang sangat jarang menghubunginya. sebelum kahwin, hampir sebulan sekali saya akan pulang ke kampung. namun setelah berkahwin, ia sangat jarang. salah saya juga.
kini, papa sudah lama pergi ke daerah abadi. ya, saya juga sudah jarang pulang ke kampung. setahun boleh dibilang dengan jari. namun, setiap kali pulang, saya tidak pernah lupa menziarahi pusara papa. saya akan singgah berjumpa papa dahulu sebelum berjumpa ahli keluarga lain yang masih hidup. papa tidak pernah mati di dalam hati saya.
ketika mahu pulang semula ke klang, saya akan singgah sekali lagi berjumpa papa sebelum meneruskan perjalanan pulang. ketika hidup, saya akan bersalam dengan papa ketika tiba di kampung dan bersalam sekali lagi ketika mahu pulang ke klang, biarpun papa sudah tiada, saya tetap bertamu di sisinya sambil mengkhabarkan padanya bahawa kami adik beradik berterima kasih padanya yang membesarkan dan mendidik sempurna kami.
al fatihah untuk papa, dan mami. doa kami sentiasa bersama kalian.