Showing posts with label keluarga. Show all posts
Showing posts with label keluarga. Show all posts

Tuesday, February 21, 2017

JEJANTAS UDARA MENARA BERKEMBAR PETRONAS (Skybridge KLCC)

Semalam (19/02/2017) saya berkesempatan membawa anak sulong saya, Luqman Hakim ke Jejantas Udara KLCC (Skybridge Petronas Twin Tower). Ia adalah kejutan kepada anak saya itu. Kebetulan pada hari tersebut saya sudah berjanji dengan dua orang sahabat baik saya untuk mini gathering pada sebelah petang, dan ada sedikit masa untuk ke KLCC.

Berikut adalah catatan lawatan saya sebagai panduan sahabat yang ingin ke Skybridge Petronas Twin Tower (Skybridge KLCC):

PERMULAAN LAWATAN : RANCANG PERJALANAN.
Umum tahu bahawa skybridge ini adalah lokasi wajib bagi pelancong asing dan kouta masa lawatan juga adalah TERHAD. Jadi jika anda berhajat untuk ke sana, pastikan anda rancang dahulu perjalanan anda agar tidak berputih mata.

Di sini saya sertakan info waktu pembukaan dan jaduan lawatan untuk panduan bersama. Info ini diperolehi daripada laman sesawang rasmi skybridge iaitu http://www.petronastwintowers.com.my

(Gambar : Fakta mengenai KLCC)

(Gambar : Info berkaitan waktu operasi dan lokasi bagi membeli tiket)

(Gambar : Info berkaitan masa pilihan bagi membeli tiket)

(Gambar : Harga Tiket)


PERINGKAT PERTAMA LAWATAN : MEMBELI TIKET
Jika anda bernasib baik, anda sebenarnya boleh sekadar 'walk in' sahaja. Saya dimaklumkan bahawa pelawat tempatan dikehendaki hadir sendiri untuk membeli tiket di LEVEL CONCORSE Menara Berkembar Petronas kerana harga untuk rakyat Malaysia cuma boleh dikeluarkan setelah menunjukkan kad pengenalan.

Setelah membeli tiket dengan harga yang tertera, pelawat akan diberikan tiket dan pas pelawat seperti di bawah:-

(Gambar : Contoh tiket)

(Gambar : Contoh pas pelawat dewasa)

(Gambar : Contoh pas pelekat pelawat kanak-kanak yang ditampal pada pakaian)


PERINGKAT KEDUA LAWATAN : PEMERIKSAAN DAN TAKLIMAT KESELAMATAN.
Apabila waktu melawat akan bermula, semua pelawat akan dipanggil. Mereka akan melepasi mesin pengimbas tiket, dan seterusnya akan melalui pemeriksaan keselamatan oleh anggota polis. Pelawat dikehendaki mengosongkan poket dan melalui 'scanner' seperti yang terdapat di lapangan terbang. 

Pelawat juga dikehendaki berkumpul untuk taklimat keselamatan yang dibuat secara digital seperti gambar di bawah:

(Gambar : Taklimat keselamatan)


PERINGKAT KETIGA LAWATAN : JEJANTAS UDARA MENARA BERKEMBAR PETRONAS (SKYBRIDGE)
Pelawat akan diiring oleh polis bertugas memasuki lif dan ke Tingkat 41 yang menempatkan skybridge ini. Untuk maklumat, skybridge ini adalah jejantas pejalan kaki yang tergantung antara dua bangunan Menara Berkembar Petronas. Ia sepanjang 58.4 meter dan berada di aras ketinggian 170 meter dari permukaan tanah. Tinggi tu!

Jika kita amati, sebenarnya jejantas ini sedikit beroleng (bergerak) tetapi jangan bimbang ia mematuhi tahap piawaan keselamatan yang tinggi. Jika berlaku kecemasan, sila patuhi arahan petugas.

Kami diberi masa 20 minit untuk menikmati suasana di skybridge. Saya banyak berselfie dengan Luqman dan ada masanya kami menebalkan muka meminta petugas atau pelawat lain merakam gambar kami berdua. Ala... mereka pun sama, jadi apa nak dimalukan. 

Jika memerlukan apa-apa maklumat, sila rujuk papan info yang disediakan atau tanya sahaja petugas yang mengiringi rombongan kita. Kita dah bayar, jadi gunakan hak kita sepenuhnya. 

Berikut antara gambar kawasan skybridge yang saya rakamkan.



  






PERINGKAT KEEMPAT LAWATAN : DEK PEMERHATIAN (OBSERVATION DECK) 
Dari tingkat 41 yang menempatkan skybridge, kami kemudiannnya dibawa menaiki lif ke Tingkat 83. Namun kami dikehendaki masuk semula ke lif yang berada di tingkat tersebut untuk ke Tingkat 86. Tingkat 83 ini cuma kawasan transit. Untuk info, lif kecil ini hanya memberikan perkhidmatan ke tingkat 84, 85 dan 86 sahaja.

Tiba di Tingkat 86 suasananya sangat cantik. Puncak Menara Berkembar (pinacles)  begitu jelas di depan mata seolah boleh dijangkau dengan tangan. Di sini pelawat boleh menikmati pemandangan Bandaraya Kuala Lumpur yang saujana mata memandang. Teropong berkuasa tinggi juga disediakan bagi kemudahan pelawat.

Masa 20 minit di Observation Deck ini terasa begitu singkat kerana tidak puas menikmati suasana KL dari tempat tertinggi di Malaysia ini. Di sini disediakan pelbagai info untuk pengetahuan pengunjung berkaitan menara ini. Jangan tak tahu bahawa Tingkat 86 ini adalah tingkat/ aras tertinggi yang boleh dinaiki oleh orang awam kerana dua aras paling atas selepas Tingkat 86 ini di khaskan untuk penyelenggaraan sahaja.

Berikut antara gambar yang sempat dirakamkan untuk dikongsi bersama.









PERINGKAT KELIMA LAWATAN : GIFT SHOP / TRANSIT AREA
Setelah selesai melawat aras Pemerhatian (Observation Deck), kami turun kembali ke Tingkat 83. Tingkat ini adalah aras transit dari Tingkat 42 (Skybridge) ke Tingkat 86 (Observation Deck) dan dari Observation deck untuk turun ke aras tanah Bangunan Berkembar Petronas.

Keluar sahaja dari lif, terdapat dinding biru yang memaparkan kesemua grafik bangunan dan menara tertinggi di dunia untuk info dan perbandingan. 

Di aras ini juga terdapat kedai cenderahati (gift shop) yang menjual pelbagai cenderahati kenang-kenangan. 

Sebagai peminat token, saya tertarik dengan mesin menempa token menara berkembar yang terdapat di situ. Pelawat boleh merasai pengalaman menempa tiga jenis token sebagai tanda pernah sampai ke situ. Setiap token berharga RM5.00. Sayangnya saya cuma dapat dua sahaja token kerana mesin menghadapi masalah teknikal.

Kami di sini sekitar 20 minit dan akhirnya diberikan giliran untuk turun ke aras bawah. Lawatan tersebut secara rasminya tamat.








TINGKAT BAWAH : KLCC / SOUVENIR PHOTO COUNTER
Apabila tiba di tingkat bawah, mana-mana pelawat yang telah menempah gambar melalui jurufoto bertauliah akan menerima gambar mereka. Tempahan gambar ini boleh dibuat sepanjang masa lawatan dengan berhubung dengan jurugambar yang sentiasa berada bersama kumpulan rombongan dan akan diberikan slip tempahan seperti di bawah:


Oh ya! Diingatkan sebelum menggunakan khidmat mereka, tanya harga dahulu. Saya takut anda pengsan apabila diberitahu harganya ketika anda menerima gambar anda di tingkat bawah nanti.



LAWATAN TAMAT .
Secara keseluruhannya, saya dan anak saya Luqman Hakim sangat seronok menyertai lawatan ini. Ia adalah satu pengalaman yang begitu mengujakan. 



Tuesday, November 22, 2016

Melabur pada anak orang.


" ayah, hari ni 'teacher' bagi rm5.00 seorang kat kelas luqman sebab semua lulus bahasa inggeris dalam upsr", kata luqman kepada saya yang asyik menyusun koleksi duit jepun ke dalam album.

saya berhenti menyusun dan memberi perhatian kepada anak sulung saya itu.

"semua dalam kelas luqman dapat rm5.00?', soal saya meminta kepastian. dia mengangguk dan memaklumkan saya bahawa terdapat 38 orang murid di dalam kelasnya.

saya mengambil telefon bimbit dan mengira jumlahnya. huh! rm190. banyak tu!. saya maklum bahawa seorang guru bukan hanya mengajar satu kelas sahaja, tetapi boleh mencecah 2 atau 4 kelas bagi subjek yang sama. jika 50 orang pelajarnyanya lulus, cikgu tersebut terpaksa mengeluarkan duit poketnya sebanyak rm250.

saya kemudiannnya telah google kenaikan gaji guru berijazah dengan gred DG41 untuk melihat jumlah kenaikan gaji tahunan mereka. mmm... rm225 (nota : maafkan saya jika ia tidak tepat kerana ia dirujuk kepada sumber internet tanpa pengesahan). boleh tahan lumayan kenaikan gaji tahunan guru rupanya.

saya busybody gaji guru?
hahaha... mestilah, sayakan orang HR/sumber manusia. saya terdedah dengan pengurusan gaji dan saya juga telah beberapa kali menghadiri seminar pengurusan upah yang dikaitkan dengan produktiviti. semua ini ada hubungkaitnya. yang bukan ahlinya tidak perlu pecah kepala memikirkannya, ini kerja orang HR. hehe.

anda nampak apa yang saya nampak?
kenaikan gaji tahunan guru tersebut yang saya andaikan guru berijazah adalah rm225 setahun, dan dia telah menggunakan rm250 duitnya itu untuk memberikan kepada pelajarnya. tindakan yang tidak cerdik bukan?
di dalam ekonomi yang tidak menentu sekarang, semua orang membuat perbelanjaan berhemat. tindakan guru ini adalah satu pembaziran wang. jika dia tidak berjanji apa-apapun, tidaklah menjadi satu kerugian dan kejanggalan. malah banyak ibu bapa juga tidak pernah menjanjikan apa-apa jika anak mereka sekadar lulus.

saya sendiri sebagai contoh, saya janjikan anak saya rm100 bagi setiap A yang diperoleh dalam upsrnya. jika B,C atau D, anak saya tidak akan beroleh apa-apa.

Get A or nothing!

cikgu ini pula siapa yang menawarkan rm5.00 untuk gred lulus sahaja. Gila!. tambah gila dia menawarkannya kepada semua pelajarnya. jika dia ada 100 orang pelajar dan semuanya lulus, dia terpaksa berbelanja rm500 untuk sesuatu yang tidak bermanfaat untuk dirinya.

iyalah, sebagai ayah saya tawarkan rm100 untuk anak saya kerana dia anak kandung saya. jika dia berjaya, nama saya juga harum dan anak saya juga beroleh halatuju masa depan lebih cerah.

si guru itu pula melabur untuk apa?. bukan anak dia, malah jarang sekali ada anak murid yang kenang jasa apabila sudah berjaya. kata mereka, semua kepandaian adalah hasil usaha pelajar sendiri yang menumpukan perhatian semasa guru mengajar. kepandaian anak juga kerana sokongan dan dorongan ibu bapa. ibubapa juga yang berhabis duit menghantar ke tusyen dan membeli pelbagai bahan bacaan dan latihan. sedang guru pula cuma sekadar penjawat awam yang dibayar gaji untuk mengajar. sebab itu ada ibu bapa yang melenting apabila guru menjentik anak mereka kerana mereka berpendapat guru hanya perlu mengajar anak mereka supaya pandai dan cemerlang.

" anakku luqman, ketahuilah bahawa guru ini pelik jenisnya. dia sering menganggap mengajar dan mendidik itu bukan kerjanya, tapi tanggungjawab. dia bukan anggap yang diajarnya itu adalah sekadar murid, tetapi anak-anaknya. malah sayangnya seringkali berlebihan berbanding anak kandungnya sendiri".

" dia mengajar bukan sekadar untuk anak didiknya dapat A, tetapi mengasuh jiwa agar dapat ilmu untuk kelangsungan hidup".

" semasa keputusan upsr baru-baru ini, rata-rata ibubapa masih tabah walaupun anak mereka tidak cemerlang. tapi guru-guru ini menangis sampai bengkak mata. berkurangkah gaji mereka jika semuanya gagal?. sudah semestinya tidak. cuma mereka menghukum diri tidak mampu mengajar anak-anak dengan baik."

" jadi luqman, ingatlah. rm5.00 itu adalah lambang harapan guru terhadap muridnya. rm5.00 itu jika dibawa ke kedai, hanya mampu membeli 2 choki-choki dan sebatang ais krim malaysia sahaja, tetapi nilai harapan guru yang memberinya itu akan subur sepanjang hidup luqman".

" suatu hari nanti apabila luqman sudah melepasi sekolah menengah dan berjaya memasuki universiti, luqman tentu sudah lupa guru yang pernah mengajar luqman semasa di sekolah rendah. tetapi guru itu tetap senyum sendiri dan berbangga apabila dia mendapat khabar bahawa luqman sudah berjaya".

" jadi ayah minta luqman hormatilah guru sebagaimana luqman hormati kami sebagai ibu bapa kerana redha guru juga penting sebagaimana redha ibu bapa".

Monday, October 31, 2016

Papa tetap kekal di hati.

hari sabtu dan ahad saya pulang ke kampung saya di batu balai, jerantut untuk melawat keluarga dan meraikan majlis perkahwinan anak saudara saya.
semasa di majlis kenduri di kampung kelahiran saya di kampung damak, ramai kenalan arwah papa saya menegur saya. rata-rata masih mengenali saya biarpun saya sudah terlalu lama tidak berziarah ke rumah mereka. iyalah, mungkin kali terkahir saya bertemu mereka ini sewaktu saya masih bersekolah.
saya mengakui terasa malu tidak menegur mereka dahulu sedangkan mereka mengenai saya dan tahu pula nama saya. malah bapa pengantin perempuan yang anaknya berkahwin dengan anak saudara saya begitu gembira berjumpa dan berbual dengan saya biarpun dalam masa sama melayan tetamu yang hadir. ternyata saya masih dalam ingatan dan kenangan mereka.
bercakap mengenai kenangan, pagi ini kakak saya pula menyiarkan sekeping gambar arwah papa saya bersama kami 4 beradik. mungkin semasa ini saya masih bujang, entahlah.
dahulu, saya dan papa seringkali berbeza pendapat. dan ada kalanya sehingga kami tidak bertegur sapa berbulan-bulan. ya, saya akui ia salah, dan saya bersyukur tidak mati sebagai anak derhaka.
ya, papa membesarkan saya dengan kasar, namun dalam masa yang sama sangat memanjakan saya. apabila keinginan saya dibentak, saya akan cepat berkecil hati. papa juga begitu, jika saya tidak menelefon atau berziarah secara kerap, dia juga cepat terasa hati. pertembungan emosi ini seringkali menyakibatkan kami tidak bertegur sapa.
"kenapa balik rumah aku?", soal papa sewaktu saya dan isteri baharu tiba ke kampung setelah menempuh perjalanan jauh dari klang.
saya tidak jadi mengeluarkan barang dari kereta dan terus berkira-kira mahu pulang terus ke klang. isteri, emak dan emak saudara saya menangis dan memujuk saya supaya tidak terus pulang. kata mereka perangai orang tua memang begitu.
saya akur, dan menjauh diri dari bertembung dengan papa. sewaktu kami sekeluarga makan, papa keluar berlama-lama ke surau. apabila kami menonton tv, papa keluar menghisap rokok di beranda. lantaklah!
sedang leka melayan laptop di dalam bilik sedangkan isteri menyusui si kecil, baharu saya perasan anak lelaki saya luqman tiada bersama. dia ketika itu baharu enam tahun. saya cepat-cepat keluar bilik mencarinya. bimbang dia keluar sehingga ke jalan raya.
rupanya dia bersama papa saya menonton tv, rancangan bola sepak. saya cepat-cepat beredar bersembunyi apabila saya mendengar anak saya meminta air nescafe yang sedang di minum oleh datuknya itu. saya lihat papa saya bangun menuju ke dapur mengambil gelas kosong dan berkongsi air dengan cucunya. sesekali saya lihat mereka berdua bersorak dan si datuk mencium ubun-ubun si cucu. papa memang memarahi saya tetapi tetap mengasihi cucunya.
petang itu ketika papa saya minum petang sendirian di beranda, saya ke arahnya meminta maaf seraya memeluknya. saya tak tahu apa salah saya sehingga papa memarahi saya, tetapi saya yakin tentu ada yang mengguris hatinya. saya buangkan sahaja ego saya itu dan memohon maaf darinya. seperti dijangka banyaklah perkara yang disyarahkan kepada saya kerana rupanya papa berkecil hati kepada saya yang sangat jarang menghubunginya. sebelum kahwin, hampir sebulan sekali saya akan pulang ke kampung. namun setelah berkahwin, ia sangat jarang. salah saya juga.
kini, papa sudah lama pergi ke daerah abadi. ya, saya juga sudah jarang pulang ke kampung. setahun boleh dibilang dengan jari. namun, setiap kali pulang, saya tidak pernah lupa menziarahi pusara papa. saya akan singgah berjumpa papa dahulu sebelum berjumpa ahli keluarga lain yang masih hidup. papa tidak pernah mati di dalam hati saya.
ketika mahu pulang semula ke klang, saya akan singgah sekali lagi berjumpa papa sebelum meneruskan perjalanan pulang. ketika hidup, saya akan bersalam dengan papa ketika tiba di kampung dan bersalam sekali lagi ketika mahu pulang ke klang, biarpun papa sudah tiada, saya tetap bertamu di sisinya sambil mengkhabarkan padanya bahawa kami adik beradik berterima kasih padanya yang membesarkan dan mendidik sempurna kami.
al fatihah untuk papa, dan mami. doa kami sentiasa bersama kalian.

Sunday, February 28, 2016

Penghargaan TERIMA KASIH untuk Klik 1Malaysia Bentong.

Perhargaan TERIMA KASIH untuk Klinik 1Malaysia Ketari Bentong.
Melihat anak bongsuku Arif Fahmi yng cergas bermain, teringat kisah 13/2/2016 lepas ketika dia sakit. Jadi saya mengambil sedikit masa untuk membeli kad ucapan bagi merakamkan ucapan terima kasih kami kepada petugas Klinik 1Malaysia Bentong atas rawatan kepada anak kami.
Begini kisahnya.
Semasa cuti sempena Tahun Baharu Cina baru ini, saya sekeluarga pulng ke kampung meraikan majlis pernikahan adik bongsu saya di Kg Batu Balai, Jerantut.
Sejak malam 12/2/16 lagi Fahmi mengadu sakit perut. Menganggap ia cuma kembung perut, isteri sekadar mengusap minyak angin ke perut Fahmi. Ia hilang, namun datang kembali pada awal pagi 13/2/16 (sabtu).
Disebabkan sibuk kerja kenduri pada hari itu, isteri mengurus anak. Usai kenduri lewat petang, kami bergegas pulang ke Klang, Selangor kerana saya ingin mengikuti Perkampungan Penulis 2016 keesokkan paginya.
Fahmi mengadu semakin sakit perut, saya berfikir untuk mendapat rawatan di Pekan Benta kerana itulah pekan terdekat dan mempunyai klinik. Malangnya klinik tutup. Inilah sukarnya hidup di pekan/bandar kecil yang rata-rata klinik cuma dibuka hari bekerja dan tutup jam 6pm, dan sabtu ahad juga tutup. Tambahan pula ia perayaan tahun baharu cina.
Saya sekadar membeli minyak angin Yu Yee cap Limau ( nota : ada logo halal Jakim). Setelah disapu, redalah sakitnya seketika. Fahmi tidur dan bunyi mengaduh senyap seketika.
Bila tersedar dia menangis lagi. Saya terus memandu namun sering berhenti untuk menggosok perutnya dan memujuknya bersabar sementara berjumpa klinik.
Di bandar Bentong saya melilau mencari klinik namun semuanya tutup. Rata-rata klinik disini milik bangsa tionghua dan mereka sedang bergembira berhari raya. Saya mengelak ke hospital bentong kerana tau rutinnya yang cerewet dan lama.
Ekoran fahmi nampak agak tenang dan tidak mengadu lagi, saya merancang teruskan perjalanan. Namun saya berhenti seketika untuk solat dan makan malam. Baru menyuap nasi dan sup ekor, fahmi mengaduh lagi. Saya mendukongnya dan meminta ahli keluaga lain cepat menghabiskan makanan. Jika tiada pilihan... ke hospital sahajalah!
Semasa membayar saya bertanya tentang mana-mana klinik. pekedai siam kata ada klinik 1Malaysia tapi tak pasti di mana. Saya google dan menelefon untuk panduan arah. Ketika itu jam 815pm. Jururawat bertugas membantu saya dengan arah melalui telefon.
"Ayah, sakit!", itulah ayat yang terus diulang-ulang sepanjang jalan mencari klinik. Saya memandu dengan pantas namun cermat.
Tiba di klinik, jururawat tadi menunggu saya di depan pintu. Saya yakin dia mendengar suara anak saya yang kesakitan.
Saya terus membawa fahmi ke bilik rawatan. Penolong pegawai perubatan bernama Bazlan (nota : lebih dikenali sebagai MA) berusaha mengdiagnos jenis sakit berdasarkan simptom. Biarpun saya agak geram dia mengambil masa memeriksa dan mengubat, saya faham dia tidak boleh sewenangnya memberi ubat tanpa kesahihan penyakit. Dia kerap bertanya soalan kepada saya dan fahmi. Adui! Lembabnya klinik kerajaan ni, getus hati saya. Jika ada klinik swasta, saya lebih rela membayar.
Setelah berpuas hati yang fahmi sakit akibat angin dengan perut memulas dan 2 hari tidak membuang air besar. Dia mencadang ubat cucuk bontot untuk sembelit.
MA tersebut membawa kami ke tandas dan mencucuk ubat sembelit. Dia turut bersama saya menunggu didalam tandas sehingga saya memintanya pergi kerana anak saya tidak selesa. Fahmi terus membuang angin (nota : kentut) bertalu-talu. Walau saya ayahnya, kentut pendam tahi dua hari anak tetap busuk dan membuatkan saya termuntah. Si MA kerap keluar masuk bertanya khabar dan meminta saya tidak mengepam najis untuk melihatnya. Akhirnya selepas lebih 20 minit, fahmipun membuang najis besar. Setelah selesai dan dilihat MA, ia dilupus untuk selamanya dan hanya Indah Water sahaja tahu tempat ia bersemadi selamanya.
Kami kembali ke bilik rawatan dan diperiksa. MA meminta kami berehat dalam 10 minit lagi untuk melihat perkembangan fahmi. Kami menurut. Diantara rawatan fahmi, klinik itu sentiada ada pesakit. Namun MA itu tetap cakna dengan kes kami biarpun kami bukan kariah disitu.
Kami dipanggil lagi dan diperiksa. Dia berpuashati dengan tahap kesihatan fahmi dan mengizinkan kami meneruskan perjalanan tanpa rujukan ke hospital. Di akhir proses saya membayar khidmat dan dedikasi mereka bertiga iaitu 1 MA dan 2 jururawat dengan harga RM1.00.
Mereka cuma petugas klinik kerajaan yang merawat tanpa tahu siapa saya; pegawai kilang dan penulis buku 'Jangan sentap, okey!'. Jika tahupun, saya yakin ia tidak mengubah dedikasi rawatan dan layananpun terhadap saya sekeluarga.
Alhamdulillah, fahmi sihat-sihat sahaja tanpa sakit perut lagi. Biarpun ada fb yang menyatakan MA adalah golongan kelas kedua yang diberi peluang untuk duduk di klinik pedalaman, saya tetap menyanjungi mereka kerana mereka telah diberi latihan secukupnya dalam melindungi nyawa orang-orang seperti saya dan anda semua.
Kepada MA BAZLAN dan 2 jururawat Klinik 1Malaysia Ketari Bentong yang bertugas pada malam 13/2/16, saya sekeluarga mengucapkan JUTAAN PENGHARGAAN TERIMA KASIH atas dedikasi anda. Semoga tugasan ikhlas anda akan sentiasa dirahmati Allah.

Tuesday, March 3, 2015

AL FATEH STEAMBOAT & GRILL

Assalamualaikum & Salam Sejahtera.

Pada 03/02/2015 yang lalu aku dan keluarga telah berkunjung ke sebuah restoran buffet steamboat & grill di kampung jawa, klang. ini sempena dengan sambutan hari lahir aku ke 39 tahun.

Kebiasaannya, kami sambut di restoran makanan segera, tapi tahun ini aku sengaja membuat kelainan dengan mengajak family ke restoran steamboat.

Umum tau bahawa kebanyakan restoran steamboat dimonopoli oleh orang bukan Islam, walaupun berstatus halal. Restoran al fateh ini pula dimiliki 100% oleh orang Melayu Islam. jadi tiada keraguan dari segi status HALAL.

Ini adalah kali pertama kami ke sini, itupun setelah mendengar cerita dari kawan2 kata ianya sedap, murah dan berbaloi. 

Untuk senarai harga, korang rujuklah kat tanda kat bawah ni, ia aku ciluk dari fb mereka.



Biarpun kami juga tinggal di klang, aku memang failed nama-nama jalan. jadi langkah terbaik ialah gunakan waze. memang tepat hingga ke depan pintu restoran ini.

Masa sampai, mak oi.... ramainya manusia. ramai jugak orang yg berdiri dan menunggu giliran untuk mengambil tempat. Alhamdulillah, aku terus dapat tempat sebab aku awal-awal dah booking.

Walaupun tempatnya agak tersorok, tapi santai dan menenangkan. pada aku, pilihan makanan tidaklah mewah kerana tiada langsung kelibat ketam, udang laut dan sewaktu denganya. yang paling mewah cuma udang saiz sedang. 

Namun begitu, bahan mentah lain banyak seperti fishball, daging utk grill, sotong, kerang, pepahat, cendawan, sayur, jagung dan sewaktu dengannya. ini gambar antara pilihan makanan untuk di steamboat dan grill.


Anak-anak yang paling eronok sebab dapat memilih makanan yang mereka suka. mereka rebus fishball, pepahat, bakar daging berempah, kerang dan sebagainya. bagi aku yang anak-anak masih kecil memang seronok sebab mereka tak banyak makan tetapi ada aiskrim. mereka bedal bermangkuk-mangkuk.

Biarpun semasa search mengenai restoran ini ada juga kata layanan kurang memuaskan, pada aku ianya tidak benar. semasa meminta tambahan sup, dan bertanya mereka adalah peramah. sedikit kekurangan jika ada, pada aku biasa sebab pelanggan sentiasa ramai. mereka juga manusia, ada rasa penat. cuba minta dengan elok, nescaya akan dapat cepat dan dengan elok.

Pada aku yang pernah part time kerja kedai makan, jika pelanggan minta dengan baik, mulakan dengan 'MINTA TOLONG..', ramai yang tolong dengan senyuman. dah dapat tu, ucapkanlah TERIMA KASIH. tak rugipun.



secara keseluruhannya, aku dan keluarga sangat berpuas hati dengan hidangan disini. budget murah tapi boleh jugak makan dengan puas. anak-anak juga sangat gembira. hingga sekarang mereka masih tidak melupakannya. malah aku memberi tawaran kepada anak-anak, jika setiap 4 kali berturut-turut mereka tidak ke pasar malam, aku akan bawa ke al fateh. sekarang dah kali ke 2. aku kena standby duit. untuk sekeluarga, 

kos kami untuk 2 dewasa dan 2 kanak-kanak berbayar lebih 7 tahun cuma RM67.60. kegembiraan kami sekeluarga..... PRICELESS.

Rating : 7/10 (Steamboat)

alamat :
AL-FATEH STEAMBOAT & GRILL
LORONG RAJA JUMAAT, KAWASAN 1
41000 KLANG, SELANGOR
TEL/WHATAPPS : 017-6300965
fb : al-fateh steamboat & grill-kg.jawa klang
Buka : 5.00 PETANG -12.00 TENGAH MALAM

Friday, January 16, 2015

BERDOALAH !

Berdoalah!

Aku yakin diketika ini ramai ahli keluarga hj Daud masih belum lena lantaran ada ahli keluarga yg sdg diuji dgn kemalangan kenderaan beberapa hari lepas.

Biarpun jasadku jauh di klang, sbg keluarga aku juga merasa sakit dan sedihnya; Darahnya & darahku dari benih yg sama. 

Dari jauh ku kirim bacaan yasin agar sepupuku diberi kelegaan dan kesembuhan dgn izin Allah.
Dlm bersedih dan berdukacita jgn kita lupa bhw Allah yg mengatur ajal dan maut.
Ketahuilah bahawa sakit bukan syarat mati.
Aku teringat suatu kisah.
Beberapa tahun lepas, papaku yg mengidap kencing manis, sakit jantung & kanser paru2 sgt nazak di hosp jerantut. Kami adik-beradik telah dinasihat utk bersedia utk sesuatu yg terburuk, kematian.
Aku, kakakku Idayu Pauzi, adik2ku Imran Pauzi Imran & esam Andika Hakimi dan adik2 lain bergilir menjaga papa di wad. Sesaatpun kami tak sanggup berpisah. 

Ada kalanya kami berebut berjaga, sampai nurse halau keluar kerana max 2 org shj dibenar menjaga pesakit. Xpe, aku berjaga diluar. Mmg aku takut tinggal diluar sbb bilik mayat berdekatan.
Guard & nurse wad? Mereka pun tidur jgk. Ada sorang jg kaunter dan selebihnya akn tidur di bilik khas nurse. Tu biasa sepanjang aku jg papa aku. Biarpun aku ketakutan, aku lbh takut kehilangan papa aku. Hanya papa yg kami ada stlh mami aku meninggal dunia semasa aku berusia 8 thn.

Di subuh itu papa sakit tenat, matanya terbeliak, nafasnya spt lembu disembelih. Doktor kata sudah tiada harapan. Kami disuruh redha dan memanggil ahli keluarga jika nk bertemu papa semasa beliau masih bernyawa.

8am itu, kenalan papa yg juga seorg imam bertandang. Lantas bertemu dgn aku. Katanya hidung papa sudah jatuh, sendi2 sudah merenggang. Mmg itu tanda ajal sudah di kerongkong katanya.

Tadi kata doktor, ini kata imam: serupa, maut akan tiba bila2 masa sekarang. Aku panggil ibu tiriku, kakak dan adik2 berbincang dan memutuskan utk maklum kpd ahli keluarga besar. 

Kurang 1 jam, hosp jadi sesak. Segenap ahli keluarga & jiran dtg melawat. 

Tiada sekatan melawat lagi. Petugas am wad dah bagikan surah yasin buat kami. Bacaan yasin tidak putus2 hingga ke ptg.

Menjelang maghrib, hanya kami keluarga terdekat sahaja yang ada. Pelawat sudah tidak dibenarkan masuk ke wad. Aku meminta diri utk solat bersama imran. Papa dijaga oleh kakakku , esam dan ibuku.
Usai solat, baruku sedar bahawa aku tidak makan dari pagi. Seluruh ahli keluargaku juga begitu.
Aku dan imran ke bandar jerantut utk mcari nasi. Tiba2...

Esam call bgtau papaku nk mkn bubur nasi marrybrown. Berbakul sumpahku pd esam. Mana mungkin papa yg dari subuh seperti ayam disembelih tiba2 meminta bubur nasi.

Telefon disuakan, suara papa ditalian. Air mata aku bercucuran. Aku menjerit keriangan.
Papa makan bubur nasi marrybrown dgn berselera. Teh air kegemarannya juga dihirup seolah2 beliau tidak pernah sakit.

Malah papa menyuruh kami adik beradik balik ke rumah jenguk anak2 dan ibu yg disuruh menemaninya. 

org kata papa tlh 'cheated death'. Tapi sebenarnya Allah belum putuskan nyawa kerana sakit dan nazak bukan syarat utk suatu kematian.

Papa hidup utk suatu tempoh yg agak lama sehingga beliau di jemput ke alam abadi dgn begitu pantas dan mudah.

Al fatihah buat papaku Pauzi bin Muhammad.

Utk keluarga ayahda shaari, bersabarlah disaat getir ini. sama2 lah kita berdoa agar Ahmad Naqiuddin masih diberi peluang utk berbakti kpd Allah dan Rasulnya di atas dunia ini. Semoga beliau diberi kesembuhan dgn izin Allah.

Gambar kenderaan Ahmad Naqiuddin yang kemalangan. Ehsan ahli keluarga melalui whatsapp.


UPDATED : Arwah Ahmad NAquiddin bin Shaari telah meninggal dunia pada 16/1/15 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kg Damak, Jerantut.

Al Fatihah.

Thursday, October 30, 2014

Dapur Lelaki : Roti Cheese

Assalamualaikum & Salam Sejahtera.

macam biasa lah, dah bersemak baru nak update.

kali ni yang simple2 je, aku just nak share satu resepi utk orang yang tak berapa rajin tetapi nak makanan yang sedap dan berkhasiat.

resepi roti cheese (keju)

bahan2nya mudah je :
1) roti keping
2) telur
3) kepingan cheese

 Gambar 1 : ini bahan2 yang diperlukan untuk buat roti chesse.

 Gambar 2 : kepingan roti dibuang kulit tepinya. mm... kulit roti tu mmg aku tak buang, aku suka makan dengan kuah kari. sedap. kemudian letak sekeping cheese diatas sekeping roti. pastu, ambik sekeping lagi roti dan melapik cheese tersebut.

 Gambar 3 : kepingan roti dan cheese tadi direndam dalam bancuhan telur yang telah dipukul sehingga sebati. jangan lama2 sangat nanti roti tu lembik.

 Gambar 4 : goreng atas kuali leper. sebelum goreng tu letaklah minyak / margerin sikit untuk elakkan ia melekat.

Gambar 5 : inilah rupa setelah ia masak. roti cheese dengan telur. sesuai untuk sarapan seisi keluarga. ia juga mengengangkan. untuk orang bujang, lepas makan ni 3 keping, bolehlah berhibernasi macam beruang kutub sebab gerenti tak lapar sehingga petang.


OK. selamat mencuba.

Wednesday, April 16, 2014

CHARITY BAZAAR 2014 @ RUMAH KEBAJIKAN PERSATUAN PENJAGAAN KANAK-KANAK CACAT KLANG SELANGOR - Part 2


Assalamualaikum & Salam Sejahtera.

Kita sambung....

Pada hari ahad (13/4/14), aku sekeluarga kembali ke rumah kebajikan ini dengan membawa sedikit sumbangan. antaranya ialah :
2 pek beras 10kg
12 pek gula 1kg
2 tray telur 30 biji
1 botol minyak masak 5kg
1 botol pencuci lantai 10 liter
2 botol pencuci pakaian 10 liter
3 botol pencuci pinggan 10 liter (sumbangan Hamba Allah)
Wang tunai (sumbangan Hamba Allah)

sumbangan ini tidaklah besar, atau niat nak menunjuk2. ia sekadar pertolongan yang mampu aku sekeluarga hulurkan.

kami sekeluarga meluangkan masa dalam satu jam disana. kami melihat beberapa sukarelawan turut datang membantu bila hari sabtu dan ahad. sukarelawan berbangsa cina dan india. orang melayu macam aku? memang duduk depan tivi je lah hari minggu.

berbual lanjut dengan Mr Morgun, pengerusi rumah kebajikan itu, banyak kisah duka. yuran pengajian / persekolahan di sekolah khas sudah 5 bulan tertunggak. jumlahnya mencecah RM3000. dengan seramai lebih kurang 70 orang penghuni dan 4 pekerja, kos pengurusan rumah kebajikan ini melebihi RM32,000 sebulan. mereka mengharap ehsan derma dari dermawan seperti kita semua.

even Mr Morgun tidak menceritakan, aku dapat tau bahawa orang Melayu/Islam tidak mahu atau  sangat kurang untuk menderma kepada mereka kerana mereka dinaungi oleh bukan Islam. namun, harus diingat, 6 penghuni mereka adalah orang Islam yang majoritinya lumpuh 100%. mereka tidak didikriminasikan. siapalah kita untuk menidakkan sumbangan kepada penghuni cacat ini. lupakan pasal bangsa dan agama penghuni ini, just bagi derma sebab mereka tidak mampu menguruskan hidup mereka sendiri.

jangan kata aku dan wife tidak bersedih dan menangis mendengar kisah mereka yg diceritakan oleh pekerja dan sukarelawan disini,malah anak2 mengalir air mata. bayangkan, ada anak orang Islam yang diberi kepada mereka sedangkan ibubapa mereka tinggal berhampiran. ya aku tau sukar menjaga mereka yang cacat lantaran terpaksa untuk mencari nafkah. tapi, bila anak itu masuk ke hospital kerana sakit dan dihubungi rumah kebajikan itu.... ibubapa mereka enggan datang melawat. hari raya juga tidak diambil, atau langsung tidak dijenguk anak mereka.

tatkala aku menulis ini, air mata aku masih mengalir. terbayang bagaimana bidadari syurga itu menghulur tangan bila aku menghampiri mereka. bila tangan ini menyentuh jejari mereka, ia segera digengam erat. mata mereka bercahaya. senyuman manis yang ikhlas terpapar diwah suci mereka. subhanallah! sukar benar untuk mencari wajah sesuci itu.

nak aku meluangkan masa bersama setiap orang dari mereka.untuk kali ini aku cuma dapat bersama dengan kanak2 yang terbaring lesu. mereka tidak boleh berjalan. mereka hanya mampu menggerakkan tangan dan kaki, serta kepala dengan kadar yang terhad.

aku memohon, aku merayu sumbangan tuan/puan yang budiman. banyak cara bersedekah. berzakat juga boleh. niatkan zakat, Allah maha mendengar dan maha mengetahui. jika ingin menderma wang tunai, resit untuk pengecualian cukai LHDN diberikan. nak bagi barangan, dipersilakan. jika anda tinggal berhampiran, tetapi tiada wang ringgit dan barang untuk didermakan, cukup sekadar datang dan membelai mereka. aku cabar, just datang ambik masa 10 minit sahaja: pegang tangan mereka, belai rambut mereka, cium dahi mereka. insyallah ketenangan akan hadir dalam diri anda.

Gambar : aku dan anak2ku bersama salah seorang penghuni (berbaju oren). 
pihak rumah kebajikan ini sangat2 memerlukan sumbangan tuanpuan. jika tuanpuan tidak sanggup memberikan komitmen bulanan, one off donation juga tidak mengapa. jika tuanpuan sudah merasa kenikmatan bersedekah dan menderma, saya yakin tuanpuan akan ketagih. pahala bersedekah juga sangat besar. dan percayalah, Allah akan melipat gandakan rezeki orang2 yang bersedekah. 

sedikit promo. jika tuanpuan ada kelapangan pada hari cuti umum sempena hari pekerja pada 1 mei 2014 nanti, harap tuanpuan sudi untuk hadir ke charity bazaar yang rumah kebajikan ini anjurkan. pelbagai gerai akan dibuka oleh dermawan dan peniaga untuk tujuan kebajikan. anda boleh membeli kupon berharga RM10 satu booklet (RM2 x 5 helai) dan digunakan untuk membeli disitu. anda beli booklet, anda boleh gunakan untuk beli makanan atau barangan yang dijual. anda tak rugi apa2. anda beli rm10, makan anda boleh beli makanan harga rm10. bawalah kawan2 dan keluarga datang sama.


Acara : CHARITY BAZAAR 2014
Tempat : Rumah Kebajikan Kanak-kanak cacat klang (rujuk peta)
Masa : 10.00AM-3.00PM



ini alamat dan peta lokasi jika anda tidak biasa ke sana. kalau anda ke sana dan ternampak saya, tegur2lah. kita boleh jadi kawan. 


Tuesday, April 15, 2014

RUMAH KEBAJIKAN PERSATUAN KANAK-KANAK CACAT KLANG SELANGOR - Part 1

Assalamulaikum & Salam Sejahtera.

hari ni aku nak cerita subjek yang lain berbanding makan. tapi ia sama penting dalam hidup kita iaitu kasih sayang. aku bukan nak cerita kisah aku bercinta, tapi kisah kasih sayang kita sesama manusia terutama pada insan yang tidak bernasib baik.

kisah ini berlaku minggu lepas. 12/4/2014 yang lalu, kebetulan aku nak pergi makan di sebuah restoran di port klang, selangor atas rekomen kawan aku di saiful nizam tak lama dahulu. aku sekeluarga terkial-kial mencari restoran tersebut dan tiba2 aku ternampak signage rumah kanak2 cacat.

tapi aku terus pergi makan bersama keluarga sebab masing2 dah kelaparan. semasa makan, aku beritahu keluarga aku bahawa aku nak melawat rumah kanak2 cacat itu. dan semua setuju.

ini adalah gambar dihadapan rumah kanak-kanak cacat tersebut.

  
aku kemudiannya meminta izin dari penjaga disitu untuk masuk dan kemudiannya berjumpa dengan Mr Morgun. beliau ialah pengasas dan pengerusi rumah kebajikan ini. bersembang dengan beliau,


Gambar : Aku bersama pengasas dan pengerusi rumah kebajikan ini, Mr Morgun.



aku meminta untuk melawat sekitarnya. tiada yang disembunyikan. aku melawat semua kawasan; dari bilik tidur, ruang tamu, tandas, dapur, tempat membasuh baju. semua aku pergi. 

jangan ingat aku bizibodi. aku nak tengok sebab aku nak fikir apa aspek yang aku boleh tolong mereka. alhamdulillah, bilik tidur kanak2 ini sangat baik. tandas sangat bersi bersih. malah kawasan mereka semuanya sangat bersih. dalam pemerhatian aku mereka ada 4 orang pekerja sepenuh masa untuk menyelia, menguruskan kebajikan kanak-kanak dan rumah itu.

terdapat lebih kurang 70 orang penghuni disini. bukan semua kanak-kanak. ada yang dah remaja. kebanyakan mereka mengidap sindrom down, mental retarded (terencat otak), slow learner dan celebral palsy. terdapat dalam 5-6 orang yang memang bed ridden. majoriti adalah penghuni cina dan india. terdapat juga 6 penghuni melayu.




kami sekeluarga menghabiskan masa dalam 30 minit disini. dan kami berjanji akan datang keesokkan harinya untuk memberi sedikit sumbangan yang termampu.


untuk info lanjut mengenai pusat kebajikan ini, sila lawati website dibawah:-

http://www.ppkkck.org/


bersambung......