Wednesday, November 16, 2016

Soal Hati

Biarpun sebagai HR saya perlu bertegas dalam masalah disipln pekerja, saya juga tidak dapat lari daripada menggunakan budi bicara jika ianya kes yang melibatkan soal hati.

Pernah satu kes pekerja asing nepal dirujuk kepada saya. Dia ditangkap sedang bergayut di telefon semasa bekerja. Dia bernasib baik cuma diberi amaran lisan oleh pegawai jabatan terbabit. Selang beberapa minit kemudian dia ditangkap sekali lagi kerana masih terus bergayut di telefon biarpun telah diberi amaran.

kes berlaku hari ahad, dan pagi isnin saya memanggilnya. Saya membacakan pertuduhan dan dia terus mengaku salah.

Oh man! Saya terus mati kutu. Jika semua pekerja begini, bagaimanalah orang HR nak tunjuk skil yang dipelajari di universiti dan dalam kerja. Belum ada adegan tinggikan suara, tepuk meja dan menyelidik bukti dah mengaku salah. Jadi, jatuh hukumanlah!.

Tapi itu bukan saya.

Saya bukan HR yang suka marah-marah ( nota: hahaha). Pekerja ini mempunyai rekod kerja dan disiplin yang sangat baik. Apabila ditegur kesilapannya tetapi seketika kemudian dia buat kembali, saya jadi muskil. Jadi saya memintanya bercerita permasalahannya agar terlerai sarat beban di hatinya.

" sir, my girlfriend in kathmandu missed call me. I call back. She say tonight one boy family come to see her. If boy family okey, my girlfriend and boy married one month time", katanya dalam nada suram. Dia menunjukkan rekod panggilan telefon bagi mengesahkan dia tidak berdusta.
Saya cuma angguk, bersimpati.

Rupanya pekerja saya menjadi tidak keruan kerana kekasih hatinya akan dirisik pada malam itu. Si kekasih tiada daya membantah kerana terikat dengan adat dan kehendak keluarga. Katanya kedua keluarga yang bersaudara itu telah ada kata sepakat awal-awal lagi bagi jodoh keduanya, cuma sekadar membawa bakal pengantin melihat sendiri si gadis sebagai kata akhir dan menghormati adat.

Saya mohon melihat gambar si gadis dan dia memberinya. Terdapat puluhan gambar si gadis dalam galeri telefon. Biarpun dipisahkan jarak yang jauh, rupanya mereka berwhatapps setiap hari melepas rindu.

Cantikkah kekasihnya itu?
Bagi mata saya, dia tidaklah cantik kerana ukuran cantik saya ialah berkulit putih, langsing dan berambut panjang. Selain isteri saya, ciri itu hanya ada pada neelofa sahaja ( nota untuk isteri : ini contoh nak kata ayang cantik macam artis juga). Namun bagi pekerja saya, kekasihnya itu secantik bidadari. Cinta itu membatasi rupa, kulit, warna dan iq.

" okey, now your girlfriend not yet married, so i give you chance go home nepal. I pay you salary, you go".

" Marry her. Sleep-sleep and make baby and life happy ever after", cadang saya kepadanya agar dia dan kekasihnya tidak bersedih dan mati merana seperti salem dan anarkali.

Saya faham perasaan orang bercinta dan tahu remuknya hati apabila kekasih hati berkahwin dengan orang lain. Saya dah alaminya masa saya form 6. Kekasih saya ajak kahwin lari tapi saya takut, sedangkan dia dipaksa kahwin. Menangis saya di hari pernikahan kekasih saya itu di tepi sungai sambil pegang kad walimatul urusnya. Rasa nak terjun sungai tapi arus deras pula sebab semalam hujan, boleh lemas ooo.

Masa saya kat universiti, kekasih saya kahwin dengan pilihan keluarganya, dua hari saya pergi kuliah tanpa jiwa. Apa belajar saya tak ingat, sedar-sedar tengah makan di cafe.

Dah kerja, kekasih saya kahwin dengan pilihan keluarganya. Seminggu saya ambil cuti tanpa gaji dan berkurung dalam rumah tengok vcd tanpa henti.

Jadi saya masak benar dengan perasaan orang yang ditinggal kekasih yang dinikahkan dengan orang lain, dan sebab itulah saya memberinya jalan keluar. Kerja boleh cari di nepal, tetapi hati robek kekasih pergi, lukanya hingga ke mati. Lagi celaka apabila sedihnya kita, sedang dia terus beranak -pinak biarpun mulanya nikah paksa. Dey pooodah!.

" no sir!. I no go home, i work. I can go home, marry, get baby. But i have many-many problem. My family poor, i work 3 more years and go home. After i make house to my family", katanya tegas dan menolak tawaran saya untuk menghantarnya pulang tanpa syarat.

Jika keadaan biasa, mana-mana pekerja asing yang mahu pulang terpaksa memberi notis atau menunggu kontrak mereka tamat. Jika tidak, mereka dikehendaki membayar semula kos levi dan terpaksa pula membayar tiket pulang.

Saya hormati keputusannya biarpun saya yang terlebih kecewa. Hei... baliklah. Jika balik kekasih dah menunggu. Kahwin sahajalah kerana keluarga si gadis sudah siapkan dowri sebesar rm20,000 untuk bakal suami anak mereka. Jika perempuan yang membayar mas kahwin, tiap-tiap tahun saya kahwin lagi. Opss!. 

Ya, dia enggan balik dan saya akur. Saya melepaskannya menyambung kerja dan saya sedih sehingga ke tengahari.

Selepas makan tengahari saya berjumpanya semula bersama surat amaran pertama kerana melengahkan kerja dengan sengaja. Itulah natijahnya merobek hati saya. Huhu.

No comments: