Monday, November 7, 2016

Buah Noni

buah noni.
ketika beriadah bersama keluarga di tanjung harapan, port klang semalam, saya sempat memperkenalkan kepada isteri dan anak-anak akan buah noni yang tumbuh melata dan subur di sepanjang muara sungai itu.
bukan buah mengkudu ke tu?
ya benar!. di kepulauan melayu ia lebih dikenali sebagai buah mengkudu, sedangkan di tempat lain ia dipanggil buah noni atau morinda. ia buah yang sama.
kira-kira 15 ke 20 tahun lepas buah ini ibarat buah yang datang dari syurga kerana ia mempunyai 1001 kesembuhan kepada pelbagai penyakit. antara penyakit yang boleh dirawat adalah demam, selsema, kecacingan, athma, sakit mata, melecur, tekanan darah tinggi, depresi, anxiety, cirit-birit, atritis, melambatkan penuaan, diabetis, sehinggalah kepada rawatan kanser.
sehingga satu masa apabila ada satu syarikat memperkenalkan 'noni juice' yang sebotol mencecah ratusan ringgit, habis satu negara berebut membelinya.
" belilah jus noni ni simpan sebotol di rumah, bagus minumnya. bukan senang nak dapat, pokok dan buah ini hanya terdapat di hawaii".
" kalau rasa sakit-sakit, minum je sesudu, insyalllah sembuh. jika anak melecur kena api, sapu sikit kat luka. insyalllah esok sembuh, parut pun tak ada", kata jiran sekampung yang mempromosikan jus itu di rumah kami.
dalam malu alah, papa saya membelinya sebotol dengan berjanji membayarnya setelah mengutip getah buku nanti. papa ketika itu tidak bekerja setelah syarikatnya bekerja gulung tikar dan pengurusannnya telah berlari mencawat ekor kembali negara barat.
saya dan adik-adik cuma diam sambil memerhatikan dengan takjub jus buah keramat itu. di kampung kami, jika orang-orang tua sedang bercakap, kami hanya boleh duduk dan lihat sahaja bagi menjaga adab dan menghormati tetamu. jika melanggar susila itu, berbiratlah badan nanti.
sejujurnya saya sudah lupa rasanya. ia cuma diminum jika sakit sahaja kerana harganya yang mahal dan isipadunya yang sedikit. biasalah orang melayu, ada ubat 1000 gunapun akan diguna jika sudah benar-benar sakit sahaja kerana semasa itu kami tidak tahu bahawa ada peribahasa bahawa mencegah lebih baik dari mengubat. argh... jika sakitpun, ubat dah ada dalam rumah, apa nak susah!. hahaha.
dan itulah kali pertama dan terakhir papa membeli jus noni itu kerana ia di sailang oleh pihak berkuasa. jika tidak salah saya, pihak penyelidikan pertanian atau jabatan pertanian kemudiannya telah menjelaskan bahawa jus noni itu tidak lain dan tidak bukan adalah sekadar buah mengkudu yang tumbuh liar di tepi-tepi sungai dan parit di malaysia.
sejak itu jualan jus noni terus malap dan akhirnya hilang dari pasaran. pengusaha tempatan di awalannya berusaha gigih membuat sendiri jus mengkudu dan dipasarkan dengan harga lebih murah. buah mengkudu yang dahulunya dipandang hina dan mereput di dahan ditatang bagai minyak yang penuh. ia mendominasi pasaran dan dipunyai oleh setiap rumah untuk menjaga kesihatan lantaran khasiatnya itu.
setelah beberapa ketika, jus noni atau mengkudu ini tidak lagi dipedulikan dan ramai usahawan segera jus mengkudu tempatan terpaksa gulung tikar.
hari ini, jus mengkudu ini masih ada di pasaran dalam skala kecil. tiada siapa lagi peduli akan khasiatnya kerana tarafnya cuma buah melata. saya lupa, anda lupa dan semua orang lupa, biasalah melayukan mudah lupa!. huhu.



No comments: