Friday, November 4, 2016

Biskut askar dan jem nenas

semalam saya menerima kiriman pos berupa biskut keras dan jem nenas daripada sahabat saya yang juga seorang perajurit negara. kebetulan dia baharu habis latihan di hutan dan ada lebihan. dia bersetuju memberikan kepada saya atas dasar saya sangat teringin dan mengidam memakannya.
saya boleh beli jika ia ada dijual di kedai, tetapi tak ada. sahabat saya ini memberinya percuma kepada saya atas dasar persahabatan dan saya yang mengidam. terima kasih rodong kas di jerantut.
apabila saya membuka bungkusan semalam, saya terus memakannnya tanpa bertangguh. isteri dan anak-anak pelik melihat gelagat saya, memakannya dengan asyik sehingga kepingan ketiga baharulah saya berhenti dan menyuakan kepada mereka.
isteri saya tidak memakannya. keempat-empat anak saya mencubanya setelah saya menyapukan jem nenas di atas kepingan biskut tebal itu.
" Oh kerasnya, macam batu", kata mira, anak saya yang berusia 7 tahun.
" tak sedap langsung", kata fahmi, si bongsu berusia 6 tahun.
" pelik la rasa dia", pika si anak kedua berusia 10 tahun memberitahu saya.
"macam ni ayah kata sedap?', kata anak lelaki sulung saya, luqman yang berusia 12 tahun.
saya cuma ketawa. saya katakan kepada anak-anak bahawa inilah makanan yang menjadi alas perut para perajurit kita di perbatasan. askar juga ada nafsu selera tetapi dalam menjalankan tugas mereka makan apa sahaja yang ada di depan mata. biskut keras dan jem nenas ini adalah salah satu menu mereka. itulah pengorbanan mereka untuk memastikan kita semua hidup aman bebas merdeka. anak-anak angguk, saya nak mereka tahu betapa susahnya menjaga keamanan negara.
" ayahpun rasa sama macam anak-anak ayah rasa, biskut ini langsung tidak sedap", kata saya. saya ketawa sendiri.
"kenapa ayah minta kawan ayah hantar biskut ni kalau ayah kata tak sedap?", soal mira.
" ayah makan kerana ayah ingin kalian rasa seronoknya masa kecil ayah dahulu, tapi ayah silap. cuma ayah yang merasai seronoknya biskut keras dan jem nenas ini kerana ayah ada kisah manis semasa memakannnya".
" masa kecil dahulu di kampung batu balai, kampung ayah ramai komunis. dalam tahun 1986 macam tu baharulah kampung ayah bebas komunis. jadi setiap masa memang akan ada kompeni askar yang akan tinggal di dalam hutan dan kebun getah sekitar kampung ayah untuk melawan komunis dan menjaga orang kampung".
"dahulu bila pukul 7.00 malam hingga 7.00 pagi, akan ada 'road block' depan balai polis tu. datuk ayah, arwah tok mat antara polis yang menjaga di situ. ayah pernah tinggal di balai polis tu tau".
" bila askar yang menjaga bertukar giliran, maka berderetlah trak-trak askar yang akan lalu di depan rumah tokpa. ayah dan budak-budak lain suka lambai-lambai tangan sambil jerit pada askar-askar tu. selalunya mereka akan lempar biskut, jem nenas, susu, dan kadang-kadang ada juga gula-gula. kami berebut, memang seronok".
" biskut tu dulu lagi keras, dah campak tepi jalan dari trak pun masih tak pecah. dah dapat tu, ayah kongsilah makan ramai-ramai. sedap!". cerita saya panjang lebar.
" tapi adik makan tak sedap pun!", sampuk fahmi.
saya cuma ketawa. dalam hati saya berkata bahawa kamu semua hanya makan yang sedap dan tidak pernah rasa erti susah, tentulah kamu semua tidak dapat merasai seronoknya nikmat yang datang sebagai biskut keras dan jem nenas. zaman kita berbeza dan kamu semua beruntung anakku.
biskut keras askar dan jem nenas itu biarlah ayah makan sendiri.

No comments: