Monday, May 16, 2016

Cerekarama Sempena Hari Guru : KUTU MAT RODI


Mat Rodi umurnya empat tahun lebih muda daripada saya. Dia dan keluarganya tinggal menumpang di tanah rezab milik Masjid Damak di puncak bukit. Ayah dan ibunya mengambil upah menoreh getah Cina di Kampung Bukit Batu.
Kehidupan mereka sangat dhaif. Rumah mereka sekadar berlantai tanah dan beratap zink buruk yang telah berkarat dan berlubang di sana sini. Rumah mereka juga tidak mempunyai bekalan elektrik dan air terawat. Apabila malam menjelang, rumah mereka akan disinari cahaya pelita minyak tanah. Bekalan air pula sekadar berharap pada air kolah masjid dan tadahan air hujan di dalam tong dram di luar rumah mereka.
Lantaran kemiskinan, keluarga Mat Rodi tidak bergaul mesra dengan masyarakat sekitarnya. Pada sebelah pagi, ibu bapanya pergi menoreh getah. Manakala di sebelah petangnya pula, mereka lebih suka bercucuk tanam di tanah masjid yang sekadar sekangkang kera. Dapat juga hasil untuk menjadi hidangan sekeluarga.
Keluarga mereka tidak suka meminta-minta, hidup mewah jauh sekali. Untuk lauk sekeluarga, ayah Mat Rodi lebih gemar membeli ikan kembong longgok daripada pakcik Saimi semasa Pekan Sehari hari jumaat. Saya yang biasa menolong pakcik Saimi dengan jualannya selalu melihatnya memberi satu plastik ikan kembong yang telah pecah perut sebagai sedekah kepada ayah Mat Rodi.
Pada musim tengkujuh atau musim daun getah meluruh, penoreh getah biasanya kehabisan belanja. Apatah lagi menoreh di kebun getah orang yang hasilnya terpaksa dibahagi dua. Seringkali keluarga mereka keputusan belanja. Ayah Mat Rodi seringkali juga menebalkan muka berjumpa papaku di kedai runcit kami untuk berhutang beras dan telur.
Jika lama tidak melihat kelibat ayah Mat Rodi, seringkali juga papa menyuruh saya menghantar barang dapur buat mereka. “Sedekah”, kata papa. Seringkali juga, sebagai balasan mereka memberikan kami pisang dan sayur-sayuran seperti petola dan kacang panjang.
Di Sekolah Kebangsaan Damak tempat kami belajar, Mat Rodi cukup dikenali. Bukan kerana kepintaran tetapi keadaan fizikalnya yang tidak terurus. Baju dan seluarnya lusuh dan berdaki, kasut dan stokingnya pula berlubang di sana sini. Lebih menggelikan, kutu di kepalanya yang jelas kelihatan. Di hujung rambutnya yang agak panjang, kelihatan telur-telur kutu bergayutan. Malah, seringkali juga dapat dilihat kutu berkeliaran di kolar bajunya.
Suatu hari selepas perhimpunan, Mat Rodi ditahan. Cikgu Mahayuddin dan Cikgu Said menyuruh Mat Rodi duduk di kerusi yang disediakan. Cikgu Mahayuddin menggunting rambut Mat Rodi, pendek sampai nampak kulit kepala. Cebisan rambut bertaburan pada pakaian seragam sekolah Mat Rodi dan selebihnya jatuh ke lantai tapak perhimpunan yang telah dialas dengan kertas surat khabar lama.
Saya hanya memerhati dalam jarak 20 meter. Kebetulan saya ketika itu selaku ketua pengawas sedang memeriksa nama pelajar yang ditahan melakukan kesalahan semasa pemeriksaan selepas perhimpunan pagi. Kesalahan-kesalahan ini termasuklah rambut panjang, kuku panjang, baju tiada lencana, dan kasut tidak dikapur.
Setelah rambut Mat Rodi dipotong pendek, giliran Cikgu Said pula beraksi. Cikgu Said menutup muka Mat Rodi dengan sehelai tuala ‘Good Morning’. Dia kemudiannya mengambil tin semburan ubat nyamuk Ridset dan menyemburkannya ke kepala Mat Rodi, tujuannya untuk memusnah kutu dan koloninya yang telah lama bersarang di kepala Mat Rodi. Setelah selesai, mat Rodi dibiarkan sendirian di situ kira-kira 10 minit. Seketika kemudian Cikgu Mahyuddin dan Cikgu Said menyuruh Mat Rodi menanggalkan semua pakaiannya. Mat Rodi diberikan sehelai tuala mandi.
Dengan hanya bertuala, Mat Rodi disuruh mandi di rumah Cikgu Mahayuddin yang terletak di atas bukit di tepi tapak perhimpunan sekolah kami. Kelihatan isteri Cikgu Mahayuddin dan isteri Cikgu Said tengah menanti Mat Rodi. Jelas terpancar wajah-wajah keibuan yang suci daripada isteri cikgu-cikgu kami ini. Mat Rodi dipandang dan dilayan bagai anak sendiri.
Cikgu Said segera mengumpulkan kertas-kertas yang dipenuhi cebisan rambut dan pakaian seragam Mat Rodi. Dicucuhnya api, semuanya terbakar tidak berbaki.
Semasa waktu rehat, saya sengaja ke belakang bangunan kelas Mat Rodi. Saya tahu memang dia jenis tidak akan ke kantin untuk makan. Dia tiada wang saku untuk berbelanja. Dia membawa bekalan dari rumah, dan biasanya sekadar nasi goreng dengan ikan bilis atau cebisan ikan goreng lebihan makan malam.
Wah! Kelihatan Mat Rodi cukup segak dengan pakaian seragam baru pemberian ikhlas cikgu Mahyuddin dan Cikgu Said.
"Terima kasih cikgu".
Izman Pauzi
Bekas pelajar SK Damak, Jerantut.
Nota :
kisah ini adalah koleksi kisah benar saya semasa membesar di kampung Damak, Jerantut. Ia tidak bertujuan untuk mengaibkan sesiapa, sekadar kisah lampau untuk kita renung dan teladani berapa besarnya jasa guru berbanding mengajar mengikut sukatan semata-mata.

No comments: