Wednesday, August 19, 2015

BAB 6 ; BUDU SUKAT

BAB 6 : BUDU SUKAT
Di kampung aku dahulu, ramai penduduknya berasal dari negeri Kelantan. Mereka berhijrah ke sini dan membuka petempatan baru.
Biarpun aku adalah generasi ketiga migran dari negeri Cik Siti Wan Kembang ini, aku masih tertakluk kepada norma-norma budaya Kelantan. Kami bertutur dengan loghat Kelantan, mengamalkan budaya Kelantan dan sudah semestinya menikmati makanan Kelantan juga.
Budu.
Ya!, budu sangat sinonim dengan mereka, dan keluarga aku juga tidak terkecuali. Biarpun jauh dari negeri pengeluar asal budu, terdapat peraih budu yang datang berniaga di kampung kami setiap dua bulan sekali.
Peraih-peraih ini datang dengan keretapi di hentian Jerantut, dan ke kampung-kampung berdekatan dengan menyewa kereta ‘prebet sapu’.
Aku masih ingat, rumah nenek aku di Kampung Chengkuak, Damak selalu menjadi transit peraih budu ini. Mereka membawa bertong-tong budu, dan dagangan mereka sangat laris.
Apabila peraih sampai, pelanggan akan mula tawar-menawar. Tidak seperti budu moden yang dibotolkan, budu ini dijual dengan cara menyukatnya.
Ya, budu sukat!. Itulah gelaran yang setepatnya. Rata-rata orang kampung aku akan membeli dalam sukatan satu cupak. Peraih ini akan menyukat budu menggunakan bekas yang diperbuat daripada tembaga yang dinamakan cupak.
Setelah budu disukat mengikut kehendak pelanggan, ia akan diisi ke dalam plastik yang di panggil ‘jabil’ atau ‘supik’ yang kemudiannya akan diikat kemas.
Aku sangat suka makan nasi di rumah nenek biarpun rumah ibubapa aku sekadar 10 minit berjalan kaki. Nenek sangat suka memasak dan ianya menepati selera aku. Jadi apabila hari cuti sabtu dan ahad, aku lebih suka tinggal di rumah nenek. Nenek akan memasak lauk pauk kegemaran aku seperti gulai siput sedut, ikan sepat goreng, dan sayur pucuk paku dengan taucu. Lebih menyelerakan apabila lauk pauk itu dimakan bersama beras yang ditanam sendiri oleh datuk dan nenek di belakang rumah mereka.
‘Mok, ada ulatlah dalam budu ni’, kata aku apabila terlihat bebeapa ekor ulat berwarna putih bergerak-gerak di dalam budu yang baharu hendak aku makan. Aku sedia maklum bahawa budu sukat ini tidak tahan lama. Nenek kata budu yang tahan lama itu sebenarnya telah diletak ubat pengawet cina mati. Aku mempercayainya 100 peratus.
Nenek mengambil piring yang baharu. Menggunakan penapis teh, nenek menapis budu itu ke dalam piring yang baharu. Nenek menghentak penapis teh yang tersangkut ulat-ulat didalamnya ke dalam bakul sampah.
Nenek meletakkan kembali hirisan limau nipis, lada burung dan tempoyak ke dalam piring budu. Aku dan nenek segera menjamu selera yang tadinya tertangguh. Budu sukat memang menambah selera kami berdua.
nota : kisah 'Kampung aku dahulu' - unpublished story. 


No comments: