Friday, April 29, 2016

Kasihan

Kasihan.
sebelum solat jumaat di masjid tadi, seperti biasa saya makan nasi biryani kambing. itulah sahaja kemampuan sementara menunggu gaji.
memandangkan gerai biryani itu tidak lagi menyediakan kerusi meja untuk makan, terpaksalah saya makan di kantin dalam perkarangan masjid itu. ia adalah kantin untuk sekolah agama, dan menjadi tempat dermawan meletakkan sedekah seperti pisang, jemput-jemput, air mineral, nasi lemak dan sebagainya.
saya makan dengan asyik, memang inilah menu pilihan saya setiap jumaat. biryaninya sangat sedap dan mesra poket.
"biryani kambing ke?", tanya seorang tua sebelum duduk di sebelah kanan saya. saya mengiakannya. dia membuka bungkusan nasi lemak sedekah dan menyuapkan ke mulut.
" sedap ke kambing tu?, pakcik dah lebih 10 tahun tak sentuh daging. rasa daging kambing macam manapun pakcik dah lupa", katanya sambil menyuap makanan.
makanan yang saya suap terasa lekat di kerongkong. saya memandangnya dengan wajah kasihan. saya makannya setiap minggu dan menganggapnya makanan biasa, sedang pakcik ini sudah 10 tahun tidak merasainya. saya memang ingin membelikan biryani kambing untuk pakcik itu tetapi di meja saya itu ada lebih 17 orang, duit tunai saya tidak ada sebanyak itu, sayakan belum gaji.
saya mempelawa pakcik itu sebahagian daging kambing itu untuk dia merasainya, dia menolak. saya serba salah. pakcik itu terus makan nasi lemak dengan berselera. sesekali dia bercerita mengenai pengalamannya makan kambing suatu ketika dahulu. katanya, daging kambing kampung tidak sesuai untuk orang darah tinggi dan ghaout, kambing kampung tekstur dagingnya lebih pejal dan sedap, cara-cara nak hilangkan bau hamis kambing dan bahagian kambing yang paling sedap.
apabila pengunjung lain beredar saya mempelawanya untuk dibelikan sebungkus biryani kambing. dia menolak dengan tegas. katanya orang tua yang tidak berpendapatan sepertinya cukuplah sekadar makan nasi lemak bungkus begini, percuma. adalah tenaga untuk beribadat nanti. dia meminta saya menyimpan duit itu untuk perbelanjaan lain. saya bertambah sayu.
saya tidak berputus asa, saya mahu pakcik ini gembira dan merasa kembali keenakan kambing. saya mengajaknya berkongsi nasi saya, berkongsi itu lebih afdal (nota : berkongsi lebih afdal ini saya pernah cakap pada isteri, tetapi isteri cakap jika berkongsi madu, dia suruh saya tidur luar. sebenarnya saya tak cakap pun pasal madu. perempuan!).
"bukan pakcik tak sudi nak, pakcik memang tak boleh makan kambing. pakcik ada darah tinggi dan sakit ghout. anak pakcikpun selalu beli daging kambing kat rumah tapi pakcik tak berani makan", kata pakcik itu lagi. saya terus hilang rasa kasihan dan makan tanpa mempedulilannya lagi. rugi je berlinang air mata tadi.
kata sakit ghout, tapi makan ikan bilis, ilmu mana pakcik ni pakai saya pun tak tau. geram betul saya. korang tak rasa geramke baca kisah ini? huhu.

No comments: