Sunday, January 3, 2016

kasut Marco

Kasut Marco.
Usai makan malam, anak-anak memeriksa kelengkapan sekolah. Esok sudah mula bersekolah setelah satu purnama berlibur.
Biarpun poket berlubang-lubang dek tajamnya aliran keluar biaya sekolah, melihat senyum di wajah polos anak-anak, lukanya terubat.
Melihat anak menggaya kasut baharu, aku terimbau kisah silamku. Berbeza dengan anak-anakku yang gembira melaram kasut baharu berjenama, aku dahulu bermuram durja. 
Begini kisahnya....
Seminggu sebelum sekolah dibuka, datukku mula terkial-kial membeli kelengkapan. Baju, seluar dan stokin, kami sekadar berbelanja di pekan sahari Damak. "Murah berbanding berbelanja di Bandar Jerantut", kata datuk. Aku akur.
Ketika itu aku tinggal dengan datuk dan nenek kerana papa berkelana jauh di Kuala Lumpur.
Aku memberontak apabila datuk menyuruh aku memakai kasut lama. "Sudah buruk sangat", kataku. Apabila datuk mula membebel dengan kedegilanku ingin memiliki kasut baharu, aku katakan bahawa aku telah menelefon papa dan dia telah mengirim biaya secukupnya untuk keperluan sekolah kami adik-beradik. Datuk mendengus dan mengambil tali rapia dan mengukur kakiku.
Usai mengaji pada petang itu, datuk menyuakan kasut baharu kepadaku. Aku mengambil tanpa rela. Air mataku mula bergenang menahan hiba.
"Kasut Marko!", bentak hatiku. Padaku, ini kasut india pergi menoreh getah di estet. Kasut putih dengan getah hijau itu benar-benar membuat hatiku terbakar. Sebenarnya aku dah beberapa kali menelefon papa untuk dibelikan kasut aliph seach yang sedang popular semasa itu. Papa setuju mengirim belanja kerana dia tahu aku sentiasa mendapat nombor 1 hingga 3 setiap kali peperiksaan. Kasut idaman itu akan menjadikan aku lebih bersemangat belajar nanti ( nota : sebenarnya aku ingin melaram didepan gadis yang ku minati nanti).
Aku menangis semahunya. Bila sudah hilang sebak didada, berbekal duit rm1.00, aku menelefon papaku. Di pondok telefon awam di depan klinik bidan itu aku menangis mengadu kepada papa. Papa berjanji mengirim kiriman wang pos rm100 kepada aku hari itu juga untuk membeli kasut idamanku.
Keesokkan harinya, aku menerima resit untuk mengambil wang di pejabat pos jerantut. Dalam diam aku segera menaiki bas Pahang Lin Siong ke jerantut dan menunaikan kiriman wang itu.
Aku akhirnya membeli kasut idamanku itu di Rajan Store. Gembiranya Tuhan sahaja yang tahu. Malam itu aku tidur sambil memeluk kasutku itu.
Pada pagi pertama persekolahan, sebelum menyarung kasut baharu ke kaki, aku menggigit hujung kedua kasut itu. Aku akur kata nenek, " jika kasut baharu tidak digigit hujungnya, kasut itu pula akan menggigit kaki kita".
aku melangkah ke sekolah dengan bergaya. Sayangnya, sehingga persekolahan berakhir aku langsung tiada makwe. Pelajaran cemerlang dan memiliki kasut aliph seach bukan ukuran memikat makwe jika rupa tiada.

No comments: