Berjumpa bakal keluarga mertua.
saya ketawa mendengar kisah-kisah pemuda ketika kali pertama berjumpa keluarga bakal mertua di radio sinar fm pagi tadi. saya ketawa kerana sayapun begitu, banyak kali pula tu.
saya mengenali dia sejak tingkatan 5, dia di tingkatan 4 ketika itu. jika hendak dibandingkan dengan kekasih saya yang sama tingkatan 5 atau di tingkatan 3, dia tidak dapat menandingi mereka sedikitpun, umpama langit dengan bumi perbandingannya. jadi, kami tiada sebarang hubungan selain kawan.
tamat persekolahan, dan dalam masa saya mencari kerja, dia muncul kembali. kebetulan saya menghadiri temuduga di shah alam, saya berjumpa dengannya di central market. berbanding dahulu, dia sudah 100% berubah, tiada lagi imej budak pendiam dan AJK puteri Islam. jika dia tidak menegur, saya langsung tidak mengenalinya.
kami berkawan sahaja kerana masing-masing sudah mempunyai pilihan hati. kekasih saya ketika itu masih menuntut di sintok kedah. tinggal di kota ini saya sering kesepian dan sesat jalan, mujurlah si dia selalu ada untuk menunjuk jalan sekitar ibu kota.
dari sahabat, kami sama-sama jatuh hati. tekadnya untuk bertudung semasa awal ramadhan tahun kedua persahabatan kami membuat saya semakin sayang kepadanya. ya, dia tidaklah cantik, dan tidaklah pula berpelajaran tinggi. tetapi sikap ambil beratnya cukup bererti bagi saya.
suatu hari, dia menyatakan bahawa kakak dan abang iparnya ingin berjumpa dengan saya di bandar klang, spesifiknya di bangunan plaza MPK (mydin mall). saya menunggu dengan berdebar-debar.
ketika keluarga kakaknya tiba, saya menyantuni mereka. biasalah, saya memang seorang yang sopan santun dan berbudi bahasa. saya berbual-bual dengan si kakak dan bermain-main dengan bakal anak saudara, sementara menunggu abang iparnya yang sedang memarkir kereta di basement bangunan itu.
si dia cepat-cepat memberi isyarat mata ketika abang iparnya muncul, saya segera merapatinya yang sedang mengendong salah seorang lagi anaknya.
" ko kerja mana?", soal bakal biras saya itu tanpa sempat saya menyalami tangannya. saya menyatakan bahawa saya bekerja di shah alam.
dia bertanya lagi, " kerja apa?". saya dengan senyum menjawab, "saya kerja kilang bang". tangan saya yang dihulur sekian lama tidak disalam langsung.
"sudah! mari balik! kalau takat kerja kilang, bersepah abang boleh cari. buang masa je", jeritnya kepada buah hati saya, dia kemudiannya memanggil mereka balik. belum sempat berbual mesra dan panas punggung, penilaiannya kepada saya adalah hancur. saya dipandang seperti ayam buruk kepala (nota : sengaja saya tukar 'anjing' menjadi 'ayam').
hinakah saya kerja kilang? tak layakkah saya untuk dipadankan dengan adik iparnya yg cuma kerani lepasan SPM?. saya memang kerja kilang tapi sebagai pegawai, ada ijazah universiti. saya dimalukan di hadapan orang ramai di ruang legar plaza mpk, ramai orang tengok gelagat kami. malunya saya.
setelah masing-masing beredar, si dia menelefon saya dan memujuk dengan menyatakan bahawa abang iparnya tidak tahu saya lulusan universiti, dan bekerja sebagai pegawai HR di kilang, dan si abang ipar juga menyalahkan saya kerana tidak bercakap kerja sebenar saya.
"cuba cakap dengan saya, manusia bongkak mana yang akan cakap saya kerja sebagai pegawai sumber manusia di kilang xyz. saya lulusan universiti dengan gaji bulanan sebanyak sekian-sekian apabila ditanya soalan tahap darjah satu anggur "awak kerja apa?".
mood saya memang terbakar kalau dihina begitu. saya dari dulupun tak pernah hina orang kerja kilang walaupun mereka pekerja bangladesh atau negara india. kalau saya kerja operator kilang, so what! hinakah saya kerja begitu.
argh! itu semua kenangan. kami tidak berjodohan. dengan gadis kedahpun putus. gadis terengganupun tidak menjadi. perlis apatah lagi. budak jawa banting tu, pun break off. budak teluk kumbar, tak kesampaian juga. banyaklah, apa nak buat, dah nasib orang 'innocent' macam saya, selalu dipermainkan cinta.
apa-apapun, saya tiada dendam pada mereka, harap mereka juga begitu. hidup ini adalah medan mencari kasih sayang dan kepunyaan. cinta pada manusia, dan cinta pada Ilahi. semoga Allah jua yang memberi kebahagiaan untuk saya dan mereka-mereka yang pernah singgah dalam hidup saya dahulu. noktah.