Selamat hari ibu.
Al fatihah untuk Ibu saya yang saya panggil mami. Beliau telah meninggal dunia sejak saya darjah 2 lagi. Disebalik watak papa saya yang garang, mami adalah watak pelindung dan kerap memanjakan saya.
Isteri saya, nik norfaizar telah menjadi ibu apabila lahirnya luqman hakim bin izman, 12 tahun yang lalu. Sebagai pasangan muda yang tidak tinggal bersama keluarga/ mertua, hal keibubapaan kami belajar sendiri melalui pengalaman dan pengamatan lampau.
Sukarkah menjadi ibu?
entahlah!, ia bergantung kepada persepsi masing-masing.
entahlah!, ia bergantung kepada persepsi masing-masing.
Sewaktu Isteri saya pertama kali bergelar ibu, saya ada disisinya di bilik bersalin hospital jerantut. Sakitnya dia, azabnya dia melahirkan, saya dapat rasa. Cuma, berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Saya menggenggem erat tangannya, memberinya semangat dan kasih sayang. Gigil saya melihat proses kelahiran itu, patutlah ibu yang mati bersalin diberi gelaran 'syahid kecil' kerana prosesnya sangat menyakitkan.
Ya, biarpun kelahiran anak itu menyakitkan, majoriti ibu tidak serik bersalin lagi. Isteri saya juga begitu, setiap dua tahun akan menjadi ibu lagi, sehinggalah 4 anak; 2 putera dan 2 puteri. Syukur alhamdulillah, semuanya berjalan lancar tanpa masalah.
Mencari rezeki untuk keluarga adalah susah, keluar awal pagi dan pulang sudah malam. Namun menjadi ibu pada pandangan saya lebih susah. Semasa saya sibuk bekerja, isteri memangku tugasan ketua keluarga; mengurus rumah dan anak-anak sepenuhnya.
Saya bersaksi mata melihat jerihnya isteri bersengkang mata menyusu dan mengurus bayi. Apabila besar sedikit berlumba pula mengemas rumah dengan si anak. Si ibu mengemas di rak dan almari, anak pula mengemas di seluruh rumah. Rumah ibarat tongkang pecah dengan gelagat 4 anakanda kami.
Apabila anak mula bersekolah, saya ingat si ibu lega sedikit lelahnya, namun telahan saya salah. Di hari persekolahan, si ibulah menjadi jam loceng, memandi dan merapikan diri, menyiapkan makanan, bekal, dan berdiri bersama anak menunggu bas sekolah. Sebelum bas sekolah tiba waktu pulang sekolah, si ibu sudah tercongok menanti. Jaraknya cuma 10 langkah untuk anak pergi sendiri tetapi naluri ibu terlalu melindungi anaknya. Pulang sekolah pagi, rutin berulang untuk sekolah petang.
pulang penat di rembang senja, anak dijamu cicipan sambil menonton drama korea. Pakaian di badan ditanggalkan si ibu sedang anak ralit makan sambil menonton cereka. Sambil itu sempat juga menyiapkan makan malam keluarga.
Usai maghrib dan makan, sedang ayah menyandar bagai ular sawa kenyang, si ibu pula sibuk memeriksa kerja sekolah anak, membantu mengulangkaji dan menyusun buku mengikut jadual. Jika ada kerja yang tertinggal, subuh esoknya si ibulah yang akan terkocoh-kocoh mengajar anak menyiapkannya. Si ayah macam biasa, tenang sahaja menghirup teh panas.
Hari cuti rutinnya sama biarpun si ayah ada. Saya dilatih membasuh sendiri pakaian dan kasut semasa kecil dahulu, manakala anak saya terlalu dimanja ibunya. Sudahlah pakaian di badan dibasuh si ibu, pinggan makan dibasuh si ibu, kasut di kaki juga begitu. Si ayah tetap tenang, padanya jika kasut tak dibasuh, pakailah yang kotor ke sekolah. Sehingga kini ianya tidak terjadi kerana si ibu yang membasuhnya. Saya sering melarang isteri membasuhnya, tetapi ianya seperti mencurah air ke daun keladi. Bagi si ibu, anaklah segalanya bagi mereka.
Kesalahan? Anak saya bukan malaikat untuk tidak berbuat salah tetapi si ibu sering melindungi salahnya dan sering menjadi galang ganti dengan mengakui itu silapnya. Jika anak dihukum, anak merasa sakit kurang 5 minit sebelum bermain dengan gembira, tetapi sakit itu terus terasa di hati ibu, dan si ayah nanti merasa pembalasannya.
Saya bersyukur, biarpun saya cuma sekejab merasa kasih sayang mami saya, saya kini gembira dapat lihat anak-anak saya merasainya dengan melimpah ruah daripada ummi mereka. Semoga anak-anak saya dapat pula menjadikan ummi mereka contoh terbaik bagi kehidupan mereka kelak.
Selamat hari ibu buat ibu kepada anak-anak saya. Saya respek semua wanita terutama mereka yang bergelar ibu. Anda adalah anugerah terindah dan teristimewa buat melengkapkan hidup kami.
No comments:
Post a Comment