Tuesday, February 21, 2017

JEJANTAS UDARA MENARA BERKEMBAR PETRONAS (Skybridge KLCC)

Semalam (19/02/2017) saya berkesempatan membawa anak sulong saya, Luqman Hakim ke Jejantas Udara KLCC (Skybridge Petronas Twin Tower). Ia adalah kejutan kepada anak saya itu. Kebetulan pada hari tersebut saya sudah berjanji dengan dua orang sahabat baik saya untuk mini gathering pada sebelah petang, dan ada sedikit masa untuk ke KLCC.

Berikut adalah catatan lawatan saya sebagai panduan sahabat yang ingin ke Skybridge Petronas Twin Tower (Skybridge KLCC):

PERMULAAN LAWATAN : RANCANG PERJALANAN.
Umum tahu bahawa skybridge ini adalah lokasi wajib bagi pelancong asing dan kouta masa lawatan juga adalah TERHAD. Jadi jika anda berhajat untuk ke sana, pastikan anda rancang dahulu perjalanan anda agar tidak berputih mata.

Di sini saya sertakan info waktu pembukaan dan jaduan lawatan untuk panduan bersama. Info ini diperolehi daripada laman sesawang rasmi skybridge iaitu http://www.petronastwintowers.com.my

(Gambar : Fakta mengenai KLCC)

(Gambar : Info berkaitan waktu operasi dan lokasi bagi membeli tiket)

(Gambar : Info berkaitan masa pilihan bagi membeli tiket)

(Gambar : Harga Tiket)


PERINGKAT PERTAMA LAWATAN : MEMBELI TIKET
Jika anda bernasib baik, anda sebenarnya boleh sekadar 'walk in' sahaja. Saya dimaklumkan bahawa pelawat tempatan dikehendaki hadir sendiri untuk membeli tiket di LEVEL CONCORSE Menara Berkembar Petronas kerana harga untuk rakyat Malaysia cuma boleh dikeluarkan setelah menunjukkan kad pengenalan.

Setelah membeli tiket dengan harga yang tertera, pelawat akan diberikan tiket dan pas pelawat seperti di bawah:-

(Gambar : Contoh tiket)

(Gambar : Contoh pas pelawat dewasa)

(Gambar : Contoh pas pelekat pelawat kanak-kanak yang ditampal pada pakaian)


PERINGKAT KEDUA LAWATAN : PEMERIKSAAN DAN TAKLIMAT KESELAMATAN.
Apabila waktu melawat akan bermula, semua pelawat akan dipanggil. Mereka akan melepasi mesin pengimbas tiket, dan seterusnya akan melalui pemeriksaan keselamatan oleh anggota polis. Pelawat dikehendaki mengosongkan poket dan melalui 'scanner' seperti yang terdapat di lapangan terbang. 

Pelawat juga dikehendaki berkumpul untuk taklimat keselamatan yang dibuat secara digital seperti gambar di bawah:

(Gambar : Taklimat keselamatan)


PERINGKAT KETIGA LAWATAN : JEJANTAS UDARA MENARA BERKEMBAR PETRONAS (SKYBRIDGE)
Pelawat akan diiring oleh polis bertugas memasuki lif dan ke Tingkat 41 yang menempatkan skybridge ini. Untuk maklumat, skybridge ini adalah jejantas pejalan kaki yang tergantung antara dua bangunan Menara Berkembar Petronas. Ia sepanjang 58.4 meter dan berada di aras ketinggian 170 meter dari permukaan tanah. Tinggi tu!

Jika kita amati, sebenarnya jejantas ini sedikit beroleng (bergerak) tetapi jangan bimbang ia mematuhi tahap piawaan keselamatan yang tinggi. Jika berlaku kecemasan, sila patuhi arahan petugas.

Kami diberi masa 20 minit untuk menikmati suasana di skybridge. Saya banyak berselfie dengan Luqman dan ada masanya kami menebalkan muka meminta petugas atau pelawat lain merakam gambar kami berdua. Ala... mereka pun sama, jadi apa nak dimalukan. 

Jika memerlukan apa-apa maklumat, sila rujuk papan info yang disediakan atau tanya sahaja petugas yang mengiringi rombongan kita. Kita dah bayar, jadi gunakan hak kita sepenuhnya. 

Berikut antara gambar kawasan skybridge yang saya rakamkan.



  






PERINGKAT KEEMPAT LAWATAN : DEK PEMERHATIAN (OBSERVATION DECK) 
Dari tingkat 41 yang menempatkan skybridge, kami kemudiannnya dibawa menaiki lif ke Tingkat 83. Namun kami dikehendaki masuk semula ke lif yang berada di tingkat tersebut untuk ke Tingkat 86. Tingkat 83 ini cuma kawasan transit. Untuk info, lif kecil ini hanya memberikan perkhidmatan ke tingkat 84, 85 dan 86 sahaja.

Tiba di Tingkat 86 suasananya sangat cantik. Puncak Menara Berkembar (pinacles)  begitu jelas di depan mata seolah boleh dijangkau dengan tangan. Di sini pelawat boleh menikmati pemandangan Bandaraya Kuala Lumpur yang saujana mata memandang. Teropong berkuasa tinggi juga disediakan bagi kemudahan pelawat.

Masa 20 minit di Observation Deck ini terasa begitu singkat kerana tidak puas menikmati suasana KL dari tempat tertinggi di Malaysia ini. Di sini disediakan pelbagai info untuk pengetahuan pengunjung berkaitan menara ini. Jangan tak tahu bahawa Tingkat 86 ini adalah tingkat/ aras tertinggi yang boleh dinaiki oleh orang awam kerana dua aras paling atas selepas Tingkat 86 ini di khaskan untuk penyelenggaraan sahaja.

Berikut antara gambar yang sempat dirakamkan untuk dikongsi bersama.









PERINGKAT KELIMA LAWATAN : GIFT SHOP / TRANSIT AREA
Setelah selesai melawat aras Pemerhatian (Observation Deck), kami turun kembali ke Tingkat 83. Tingkat ini adalah aras transit dari Tingkat 42 (Skybridge) ke Tingkat 86 (Observation Deck) dan dari Observation deck untuk turun ke aras tanah Bangunan Berkembar Petronas.

Keluar sahaja dari lif, terdapat dinding biru yang memaparkan kesemua grafik bangunan dan menara tertinggi di dunia untuk info dan perbandingan. 

Di aras ini juga terdapat kedai cenderahati (gift shop) yang menjual pelbagai cenderahati kenang-kenangan. 

Sebagai peminat token, saya tertarik dengan mesin menempa token menara berkembar yang terdapat di situ. Pelawat boleh merasai pengalaman menempa tiga jenis token sebagai tanda pernah sampai ke situ. Setiap token berharga RM5.00. Sayangnya saya cuma dapat dua sahaja token kerana mesin menghadapi masalah teknikal.

Kami di sini sekitar 20 minit dan akhirnya diberikan giliran untuk turun ke aras bawah. Lawatan tersebut secara rasminya tamat.








TINGKAT BAWAH : KLCC / SOUVENIR PHOTO COUNTER
Apabila tiba di tingkat bawah, mana-mana pelawat yang telah menempah gambar melalui jurufoto bertauliah akan menerima gambar mereka. Tempahan gambar ini boleh dibuat sepanjang masa lawatan dengan berhubung dengan jurugambar yang sentiasa berada bersama kumpulan rombongan dan akan diberikan slip tempahan seperti di bawah:


Oh ya! Diingatkan sebelum menggunakan khidmat mereka, tanya harga dahulu. Saya takut anda pengsan apabila diberitahu harganya ketika anda menerima gambar anda di tingkat bawah nanti.



LAWATAN TAMAT .
Secara keseluruhannya, saya dan anak saya Luqman Hakim sangat seronok menyertai lawatan ini. Ia adalah satu pengalaman yang begitu mengujakan. 



Friday, February 17, 2017

Gurauan atau Gangguan Seksual?

Gurauan atau Gangguan Seksual?
Pagi ini saya terpandang gelagat beberapa pekerja asing warga Myanmar bukan syarikat saya yang berjalan beriringan hendak ke tempat kerja. Di kalangan mereka, ada juga pekerja asing wanita.
Tiba-tiba, salah seorang pekerja lelaki tersebut telah menepuk punggung salah seorang pekerja wanita yang bersama mereka. berlakulah kejar-mengejar dan pekerja lelaki itu berjaya dicekup oleh wanita tersebut. Kali ini punggung si lelaki itu pula dipukul beberapa kali oleh si wanita itu. Mereka mengekek ketawa, begitu juga rakan mereka yang lain.
Senario ini kepada orang HR seperti saya boleh dianggap sebagai gangguan seksual dan jika dilaporkan dan didapati bersalah, hukumannya berat termasuk pembuangan pekerja dan dilaporkan juga kepada pihak berkuasa untuk tuduhan di mahkamah.
Ya, dalam kes ini, saya cuma memerhati kerana mereka bukan pekerja saya, dan lebih utama mereka sedar akan perbuatan mereka dan merelakannya. Ia dikuatkan dengan perlakuan mereka selepas kejadian itu, mereka berdua berkongsi air minuman dan terus berjalan beriringan sambil ketawa. Saya perlu sedar hak saya sebagai orang awam untuk mengadu kes dan sebagai HR syarikat lain, lagilah saya tidak mempunyai kuasa.
Sebagai HR, saya pernah menerima aduan kes ganggual seksual oleh pihak ketiga yang melihat kejadian. Namun apabila diselidik dan ditemubual, kedua pihak hanya menyatakan mereka bergurau dan tidak merasa ianya ganggual seksual biarpun dilaporkan ada sentuhan di bahagian dada wanita itu oleh si lelaki. Bergurau kata mereka, dan kes ditutup.
Apa-apapun saya setuju bahawa di kebanyakan kes, ramai mangsa tidak mahu melaporkannya sebab ia mengaibkan. Dan ramai juga yang tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan gangguan seksual.
Gangguan seksual bukan sekadar penetrasi kemaluan lelaki ke dalam kemaluan wanita secara paksa, tetapi ia adalah skop yang lebih luas.
Okeylah, saya cerita.
Ada 5 jenis GANGGUAN SEKSUAL iaitu :
1) GANGGUAN LISAN yang melibatkan kata-kata melalui perbualan, ugutan, bercerita, jenaka, bunyi-bunyian, kritikan dan erangan. Tak kisahlah ia bernada jelik, erotik atau godaan terhadap susuk tubuh, penampilan dan aktiviti.
2) GANGGUAN BUKAN LISAN / ISYARAT pula melibatkan perbuatan seperti menjeling, menggoda, merenung, intai dan perbuatan erotik seperti menjilat bibir atau menjeliJkan lidah.
3) GANGGUAN VISUAL melihatkan tulisan atau gambar yang dihantar melalui surat, email, poster, lakaran, sms, facebook, instagram, wechat, whatsapp atau objek tertentu yang boleh dikaitkan dengan seksual.
4) GANGGUAN FIZIKAL lebih kepada gangguan lebih ekstrim iaitu melibatkan sentuhan fizikal seperti meraba, memeluk, menggosok, mencubit dan mencium.
5) GANGGUAN PSIKOLOGI pula adalah gangguan yang lebih bersifat ugutan dan mengganggu mental. Ia boleh melibatkan gabungan beberapa jenis gangguan seperti lisan dan fizikal. Kes sebegini biasanya berlaku apabila cubaan ajakan seksual secara sukarela tidak dilayan. Dalam kebanyakan kes, ia melibatkan kes pegawai atasan menekan pekerja bawahan untuk upah proses kenaikan pangkat atau ugutan bagi menutup kesalahan di tempat kerja.
Jika anda mula sedar bahawa anda sebenarnya telah menjadi mangsa gangguan seksual, sila laporkan kepada pegawai atasan anda atau terus kepada Pegawai Sumber Manusia. Jika pegawai tersebut sendiri yang melakukannya dan bersikap harapkan pegar, pegar makan padi, bolehlah terus mengadu kepada kaunselor kerajaan atau membuat laporan polis.
Jangan berkompromi, kerana kelak anda juga akan sakit jiwa kerana sekali anda membenarkan diri anda diperalatkan sebagai objek seks, besar kemungkinan si pelaku akan meminta layanan lebih kerana mereka yakin anda tidak mampu melawan.
Simpan bukti pada peringkal awal gangguan kerana dikebanyakkan kes, ia tidak dapat disabitkan kerana tiada bukti. Mangsa cenderung membuang bukti visual dan tidak pula bercerita kepada sesiapa mengenainya kerana malu.
Untuk makluman, mulai 1 April 2012, pindaan terhadap Akta Kerja 1955 telah memasukkan dengan jelas bahagian khas mengenai Gangguan Seksual. Ia tercatat di Seksyen 81A sehingga 81G. Jadi sila berhati-hati dan kawal diri terhadap gangguan seksual terhadap rakan sekerja atau gurauan melampau. Natijahnya anda mungkin dibuang kerja nanti.
Oh ya, gangguan seksual ini bukan hanya setakat gangguan si lelaki terhadap wanita, tetapi juga oleh wanita terhadap lelaki. jangan gelak, memang ada kes.
Bagaimana jika gangguan seksual wanita terhadap wanita dan lelaki terhadap lelaki?
Jika ia berlaku di depan mata anda, mohon minta mereka bertaubat nasuha sebelum dilaknat Tuhan seperti kaum Nabi Luth A.S.


Nota : Dipetik daripada facebook peribadi saya (Izman Pauzi) berdasarkan posting bertarikh 17 Februari 2017.