Saturday, April 30, 2016

Nostalgia : Lanchang Kuning

Lanchang kuning.
Saya cepat-cepat masuk rumah dan menikmati lagu 'lanchang kuning' nyanyian peserta pop star. Kerja berkebun boleh tangguh.
Lagu ini adalah lagu jiwa saya. Saya ingat saya didodoi dengan lagu ini sejak kecil oleh papa saya. Apabila saya sendiri mempunyai anak, lagu itu menjadi asbab anak saya berhenti menangis atau lena beradunya.
Saya ujinya berkali-kali. Saya nyanyikan lagu can malican, cok cok kendung, suriram, jingkling nona, winds of change, rojaa (nota : bahasa tamil untuk mawar), isabella, disana menanti disini menunggu, dan pelbagai lagu koleksi rock kapak, semua tidak menjadi.
Apabila lagu lanchang kuning, belum habis chorus, anak saya sudah lena diulit mimpi indah. Seronoknya.
Tapi tidaklah seronok sangat, malah ia menjadi melapetaka apabila kami bercuti atau pulang ke kampung. Anak pertama saya itu menagih lagunya sebelum tidur. Maka menyanyilah saya, dan tidurlah putera hati saya itu.
"Tak pernah-pernah ada hujan ribut kat sini, semalam jadi".
"Lirik dah betul, tapi suara tu tak kena tempo la".
"Tak mengigau ke anak tu dengar kau menyanyi tu?".
Itu antara suara-suara sumbang yang akan saya dengar. Namun saya sekadar pekakkan telinga. Mereka bukan orang pauh janggi untuk memahami sukarnya saya menidurkan anak.
Ya, saya telinga nipis dan terkesan dengan bahasa sinis mereka. Lagu lanchang kuning untuk anak pertama sahaja. Kedua, ketiga, keempat atau ada kelima selepas ini, tiada lagi lagu itu. Saya biarkan Umminya yang dodoi, berselawat. Ia lebih baik.
Sama ada anak saya itu akan mendodoi anaknya nanti dengan lagu lanchang kuning atau lagu titanic, tiadalah kuasa saya menentukannya. Huhu.

Temui penulis tersohor : Tuan Nazali Noor

Temui penulis tersohor : tuan nazali noor.
Alhamdulillah , saya sekeluarga berkesempatan bertemu mata dengan penulis tersohor alaf 21 yang terkenal dengan buku 'ulu yam di liverpool' & 'ulu yam di liverpool 2', tuan nazali noor di aeon bukit tinggi petang tadi. Kami antara peminat terawal berbaris.
Saya juga membeli buku terbaharunya, 'anak-anak abah' yang bakal dilancarkan di pesta buku antarangsa 2016 ini.
Saya hadir sebagai peminat, bukan rakan penulis alaf 21. Sejujurnya, saya malu mengaku penulis ketika bertemunya kerana pengetahuan saya tidak setandingnya, manakan gagak boleh terbang seiring dengan enggan. Pun begitu, saya tahu beliau sangat baik dan merendah diri.
Doakan semoga saya dapat berkarya seperti beliau, dan sentiasa menjadi 'best seller'.
Like
Comment

Friday, April 29, 2016

Kasihan

Kasihan.
sebelum solat jumaat di masjid tadi, seperti biasa saya makan nasi biryani kambing. itulah sahaja kemampuan sementara menunggu gaji.
memandangkan gerai biryani itu tidak lagi menyediakan kerusi meja untuk makan, terpaksalah saya makan di kantin dalam perkarangan masjid itu. ia adalah kantin untuk sekolah agama, dan menjadi tempat dermawan meletakkan sedekah seperti pisang, jemput-jemput, air mineral, nasi lemak dan sebagainya.
saya makan dengan asyik, memang inilah menu pilihan saya setiap jumaat. biryaninya sangat sedap dan mesra poket.
"biryani kambing ke?", tanya seorang tua sebelum duduk di sebelah kanan saya. saya mengiakannya. dia membuka bungkusan nasi lemak sedekah dan menyuapkan ke mulut.
" sedap ke kambing tu?, pakcik dah lebih 10 tahun tak sentuh daging. rasa daging kambing macam manapun pakcik dah lupa", katanya sambil menyuap makanan.
makanan yang saya suap terasa lekat di kerongkong. saya memandangnya dengan wajah kasihan. saya makannya setiap minggu dan menganggapnya makanan biasa, sedang pakcik ini sudah 10 tahun tidak merasainya. saya memang ingin membelikan biryani kambing untuk pakcik itu tetapi di meja saya itu ada lebih 17 orang, duit tunai saya tidak ada sebanyak itu, sayakan belum gaji.
saya mempelawa pakcik itu sebahagian daging kambing itu untuk dia merasainya, dia menolak. saya serba salah. pakcik itu terus makan nasi lemak dengan berselera. sesekali dia bercerita mengenai pengalamannya makan kambing suatu ketika dahulu. katanya, daging kambing kampung tidak sesuai untuk orang darah tinggi dan ghaout, kambing kampung tekstur dagingnya lebih pejal dan sedap, cara-cara nak hilangkan bau hamis kambing dan bahagian kambing yang paling sedap.
apabila pengunjung lain beredar saya mempelawanya untuk dibelikan sebungkus biryani kambing. dia menolak dengan tegas. katanya orang tua yang tidak berpendapatan sepertinya cukuplah sekadar makan nasi lemak bungkus begini, percuma. adalah tenaga untuk beribadat nanti. dia meminta saya menyimpan duit itu untuk perbelanjaan lain. saya bertambah sayu.
saya tidak berputus asa, saya mahu pakcik ini gembira dan merasa kembali keenakan kambing. saya mengajaknya berkongsi nasi saya, berkongsi itu lebih afdal (nota : berkongsi lebih afdal ini saya pernah cakap pada isteri, tetapi isteri cakap jika berkongsi madu, dia suruh saya tidur luar. sebenarnya saya tak cakap pun pasal madu. perempuan!).
"bukan pakcik tak sudi nak, pakcik memang tak boleh makan kambing. pakcik ada darah tinggi dan sakit ghout. anak pakcikpun selalu beli daging kambing kat rumah tapi pakcik tak berani makan", kata pakcik itu lagi. saya terus hilang rasa kasihan dan makan tanpa mempedulilannya lagi. rugi je berlinang air mata tadi.
kata sakit ghout, tapi makan ikan bilis, ilmu mana pakcik ni pakai saya pun tak tau. geram betul saya. korang tak rasa geramke baca kisah ini? huhu.