Tuesday, November 22, 2016

Melabur pada anak orang.


" ayah, hari ni 'teacher' bagi rm5.00 seorang kat kelas luqman sebab semua lulus bahasa inggeris dalam upsr", kata luqman kepada saya yang asyik menyusun koleksi duit jepun ke dalam album.

saya berhenti menyusun dan memberi perhatian kepada anak sulung saya itu.

"semua dalam kelas luqman dapat rm5.00?', soal saya meminta kepastian. dia mengangguk dan memaklumkan saya bahawa terdapat 38 orang murid di dalam kelasnya.

saya mengambil telefon bimbit dan mengira jumlahnya. huh! rm190. banyak tu!. saya maklum bahawa seorang guru bukan hanya mengajar satu kelas sahaja, tetapi boleh mencecah 2 atau 4 kelas bagi subjek yang sama. jika 50 orang pelajarnyanya lulus, cikgu tersebut terpaksa mengeluarkan duit poketnya sebanyak rm250.

saya kemudiannnya telah google kenaikan gaji guru berijazah dengan gred DG41 untuk melihat jumlah kenaikan gaji tahunan mereka. mmm... rm225 (nota : maafkan saya jika ia tidak tepat kerana ia dirujuk kepada sumber internet tanpa pengesahan). boleh tahan lumayan kenaikan gaji tahunan guru rupanya.

saya busybody gaji guru?
hahaha... mestilah, sayakan orang HR/sumber manusia. saya terdedah dengan pengurusan gaji dan saya juga telah beberapa kali menghadiri seminar pengurusan upah yang dikaitkan dengan produktiviti. semua ini ada hubungkaitnya. yang bukan ahlinya tidak perlu pecah kepala memikirkannya, ini kerja orang HR. hehe.

anda nampak apa yang saya nampak?
kenaikan gaji tahunan guru tersebut yang saya andaikan guru berijazah adalah rm225 setahun, dan dia telah menggunakan rm250 duitnya itu untuk memberikan kepada pelajarnya. tindakan yang tidak cerdik bukan?
di dalam ekonomi yang tidak menentu sekarang, semua orang membuat perbelanjaan berhemat. tindakan guru ini adalah satu pembaziran wang. jika dia tidak berjanji apa-apapun, tidaklah menjadi satu kerugian dan kejanggalan. malah banyak ibu bapa juga tidak pernah menjanjikan apa-apa jika anak mereka sekadar lulus.

saya sendiri sebagai contoh, saya janjikan anak saya rm100 bagi setiap A yang diperoleh dalam upsrnya. jika B,C atau D, anak saya tidak akan beroleh apa-apa.

Get A or nothing!

cikgu ini pula siapa yang menawarkan rm5.00 untuk gred lulus sahaja. Gila!. tambah gila dia menawarkannya kepada semua pelajarnya. jika dia ada 100 orang pelajar dan semuanya lulus, dia terpaksa berbelanja rm500 untuk sesuatu yang tidak bermanfaat untuk dirinya.

iyalah, sebagai ayah saya tawarkan rm100 untuk anak saya kerana dia anak kandung saya. jika dia berjaya, nama saya juga harum dan anak saya juga beroleh halatuju masa depan lebih cerah.

si guru itu pula melabur untuk apa?. bukan anak dia, malah jarang sekali ada anak murid yang kenang jasa apabila sudah berjaya. kata mereka, semua kepandaian adalah hasil usaha pelajar sendiri yang menumpukan perhatian semasa guru mengajar. kepandaian anak juga kerana sokongan dan dorongan ibu bapa. ibubapa juga yang berhabis duit menghantar ke tusyen dan membeli pelbagai bahan bacaan dan latihan. sedang guru pula cuma sekadar penjawat awam yang dibayar gaji untuk mengajar. sebab itu ada ibu bapa yang melenting apabila guru menjentik anak mereka kerana mereka berpendapat guru hanya perlu mengajar anak mereka supaya pandai dan cemerlang.

" anakku luqman, ketahuilah bahawa guru ini pelik jenisnya. dia sering menganggap mengajar dan mendidik itu bukan kerjanya, tapi tanggungjawab. dia bukan anggap yang diajarnya itu adalah sekadar murid, tetapi anak-anaknya. malah sayangnya seringkali berlebihan berbanding anak kandungnya sendiri".

" dia mengajar bukan sekadar untuk anak didiknya dapat A, tetapi mengasuh jiwa agar dapat ilmu untuk kelangsungan hidup".

" semasa keputusan upsr baru-baru ini, rata-rata ibubapa masih tabah walaupun anak mereka tidak cemerlang. tapi guru-guru ini menangis sampai bengkak mata. berkurangkah gaji mereka jika semuanya gagal?. sudah semestinya tidak. cuma mereka menghukum diri tidak mampu mengajar anak-anak dengan baik."

" jadi luqman, ingatlah. rm5.00 itu adalah lambang harapan guru terhadap muridnya. rm5.00 itu jika dibawa ke kedai, hanya mampu membeli 2 choki-choki dan sebatang ais krim malaysia sahaja, tetapi nilai harapan guru yang memberinya itu akan subur sepanjang hidup luqman".

" suatu hari nanti apabila luqman sudah melepasi sekolah menengah dan berjaya memasuki universiti, luqman tentu sudah lupa guru yang pernah mengajar luqman semasa di sekolah rendah. tetapi guru itu tetap senyum sendiri dan berbangga apabila dia mendapat khabar bahawa luqman sudah berjaya".

" jadi ayah minta luqman hormatilah guru sebagaimana luqman hormati kami sebagai ibu bapa kerana redha guru juga penting sebagaimana redha ibu bapa".

Wednesday, November 16, 2016

Soal Hati

Biarpun sebagai HR saya perlu bertegas dalam masalah disipln pekerja, saya juga tidak dapat lari daripada menggunakan budi bicara jika ianya kes yang melibatkan soal hati.

Pernah satu kes pekerja asing nepal dirujuk kepada saya. Dia ditangkap sedang bergayut di telefon semasa bekerja. Dia bernasib baik cuma diberi amaran lisan oleh pegawai jabatan terbabit. Selang beberapa minit kemudian dia ditangkap sekali lagi kerana masih terus bergayut di telefon biarpun telah diberi amaran.

kes berlaku hari ahad, dan pagi isnin saya memanggilnya. Saya membacakan pertuduhan dan dia terus mengaku salah.

Oh man! Saya terus mati kutu. Jika semua pekerja begini, bagaimanalah orang HR nak tunjuk skil yang dipelajari di universiti dan dalam kerja. Belum ada adegan tinggikan suara, tepuk meja dan menyelidik bukti dah mengaku salah. Jadi, jatuh hukumanlah!.

Tapi itu bukan saya.

Saya bukan HR yang suka marah-marah ( nota: hahaha). Pekerja ini mempunyai rekod kerja dan disiplin yang sangat baik. Apabila ditegur kesilapannya tetapi seketika kemudian dia buat kembali, saya jadi muskil. Jadi saya memintanya bercerita permasalahannya agar terlerai sarat beban di hatinya.

" sir, my girlfriend in kathmandu missed call me. I call back. She say tonight one boy family come to see her. If boy family okey, my girlfriend and boy married one month time", katanya dalam nada suram. Dia menunjukkan rekod panggilan telefon bagi mengesahkan dia tidak berdusta.
Saya cuma angguk, bersimpati.

Rupanya pekerja saya menjadi tidak keruan kerana kekasih hatinya akan dirisik pada malam itu. Si kekasih tiada daya membantah kerana terikat dengan adat dan kehendak keluarga. Katanya kedua keluarga yang bersaudara itu telah ada kata sepakat awal-awal lagi bagi jodoh keduanya, cuma sekadar membawa bakal pengantin melihat sendiri si gadis sebagai kata akhir dan menghormati adat.

Saya mohon melihat gambar si gadis dan dia memberinya. Terdapat puluhan gambar si gadis dalam galeri telefon. Biarpun dipisahkan jarak yang jauh, rupanya mereka berwhatapps setiap hari melepas rindu.

Cantikkah kekasihnya itu?
Bagi mata saya, dia tidaklah cantik kerana ukuran cantik saya ialah berkulit putih, langsing dan berambut panjang. Selain isteri saya, ciri itu hanya ada pada neelofa sahaja ( nota untuk isteri : ini contoh nak kata ayang cantik macam artis juga). Namun bagi pekerja saya, kekasihnya itu secantik bidadari. Cinta itu membatasi rupa, kulit, warna dan iq.

" okey, now your girlfriend not yet married, so i give you chance go home nepal. I pay you salary, you go".

" Marry her. Sleep-sleep and make baby and life happy ever after", cadang saya kepadanya agar dia dan kekasihnya tidak bersedih dan mati merana seperti salem dan anarkali.

Saya faham perasaan orang bercinta dan tahu remuknya hati apabila kekasih hati berkahwin dengan orang lain. Saya dah alaminya masa saya form 6. Kekasih saya ajak kahwin lari tapi saya takut, sedangkan dia dipaksa kahwin. Menangis saya di hari pernikahan kekasih saya itu di tepi sungai sambil pegang kad walimatul urusnya. Rasa nak terjun sungai tapi arus deras pula sebab semalam hujan, boleh lemas ooo.

Masa saya kat universiti, kekasih saya kahwin dengan pilihan keluarganya, dua hari saya pergi kuliah tanpa jiwa. Apa belajar saya tak ingat, sedar-sedar tengah makan di cafe.

Dah kerja, kekasih saya kahwin dengan pilihan keluarganya. Seminggu saya ambil cuti tanpa gaji dan berkurung dalam rumah tengok vcd tanpa henti.

Jadi saya masak benar dengan perasaan orang yang ditinggal kekasih yang dinikahkan dengan orang lain, dan sebab itulah saya memberinya jalan keluar. Kerja boleh cari di nepal, tetapi hati robek kekasih pergi, lukanya hingga ke mati. Lagi celaka apabila sedihnya kita, sedang dia terus beranak -pinak biarpun mulanya nikah paksa. Dey pooodah!.

" no sir!. I no go home, i work. I can go home, marry, get baby. But i have many-many problem. My family poor, i work 3 more years and go home. After i make house to my family", katanya tegas dan menolak tawaran saya untuk menghantarnya pulang tanpa syarat.

Jika keadaan biasa, mana-mana pekerja asing yang mahu pulang terpaksa memberi notis atau menunggu kontrak mereka tamat. Jika tidak, mereka dikehendaki membayar semula kos levi dan terpaksa pula membayar tiket pulang.

Saya hormati keputusannya biarpun saya yang terlebih kecewa. Hei... baliklah. Jika balik kekasih dah menunggu. Kahwin sahajalah kerana keluarga si gadis sudah siapkan dowri sebesar rm20,000 untuk bakal suami anak mereka. Jika perempuan yang membayar mas kahwin, tiap-tiap tahun saya kahwin lagi. Opss!. 

Ya, dia enggan balik dan saya akur. Saya melepaskannya menyambung kerja dan saya sedih sehingga ke tengahari.

Selepas makan tengahari saya berjumpanya semula bersama surat amaran pertama kerana melengahkan kerja dengan sengaja. Itulah natijahnya merobek hati saya. Huhu.

Monday, November 7, 2016

Buah Noni

buah noni.
ketika beriadah bersama keluarga di tanjung harapan, port klang semalam, saya sempat memperkenalkan kepada isteri dan anak-anak akan buah noni yang tumbuh melata dan subur di sepanjang muara sungai itu.
bukan buah mengkudu ke tu?
ya benar!. di kepulauan melayu ia lebih dikenali sebagai buah mengkudu, sedangkan di tempat lain ia dipanggil buah noni atau morinda. ia buah yang sama.
kira-kira 15 ke 20 tahun lepas buah ini ibarat buah yang datang dari syurga kerana ia mempunyai 1001 kesembuhan kepada pelbagai penyakit. antara penyakit yang boleh dirawat adalah demam, selsema, kecacingan, athma, sakit mata, melecur, tekanan darah tinggi, depresi, anxiety, cirit-birit, atritis, melambatkan penuaan, diabetis, sehinggalah kepada rawatan kanser.
sehingga satu masa apabila ada satu syarikat memperkenalkan 'noni juice' yang sebotol mencecah ratusan ringgit, habis satu negara berebut membelinya.
" belilah jus noni ni simpan sebotol di rumah, bagus minumnya. bukan senang nak dapat, pokok dan buah ini hanya terdapat di hawaii".
" kalau rasa sakit-sakit, minum je sesudu, insyalllah sembuh. jika anak melecur kena api, sapu sikit kat luka. insyalllah esok sembuh, parut pun tak ada", kata jiran sekampung yang mempromosikan jus itu di rumah kami.
dalam malu alah, papa saya membelinya sebotol dengan berjanji membayarnya setelah mengutip getah buku nanti. papa ketika itu tidak bekerja setelah syarikatnya bekerja gulung tikar dan pengurusannnya telah berlari mencawat ekor kembali negara barat.
saya dan adik-adik cuma diam sambil memerhatikan dengan takjub jus buah keramat itu. di kampung kami, jika orang-orang tua sedang bercakap, kami hanya boleh duduk dan lihat sahaja bagi menjaga adab dan menghormati tetamu. jika melanggar susila itu, berbiratlah badan nanti.
sejujurnya saya sudah lupa rasanya. ia cuma diminum jika sakit sahaja kerana harganya yang mahal dan isipadunya yang sedikit. biasalah orang melayu, ada ubat 1000 gunapun akan diguna jika sudah benar-benar sakit sahaja kerana semasa itu kami tidak tahu bahawa ada peribahasa bahawa mencegah lebih baik dari mengubat. argh... jika sakitpun, ubat dah ada dalam rumah, apa nak susah!. hahaha.
dan itulah kali pertama dan terakhir papa membeli jus noni itu kerana ia di sailang oleh pihak berkuasa. jika tidak salah saya, pihak penyelidikan pertanian atau jabatan pertanian kemudiannya telah menjelaskan bahawa jus noni itu tidak lain dan tidak bukan adalah sekadar buah mengkudu yang tumbuh liar di tepi-tepi sungai dan parit di malaysia.
sejak itu jualan jus noni terus malap dan akhirnya hilang dari pasaran. pengusaha tempatan di awalannya berusaha gigih membuat sendiri jus mengkudu dan dipasarkan dengan harga lebih murah. buah mengkudu yang dahulunya dipandang hina dan mereput di dahan ditatang bagai minyak yang penuh. ia mendominasi pasaran dan dipunyai oleh setiap rumah untuk menjaga kesihatan lantaran khasiatnya itu.
setelah beberapa ketika, jus noni atau mengkudu ini tidak lagi dipedulikan dan ramai usahawan segera jus mengkudu tempatan terpaksa gulung tikar.
hari ini, jus mengkudu ini masih ada di pasaran dalam skala kecil. tiada siapa lagi peduli akan khasiatnya kerana tarafnya cuma buah melata. saya lupa, anda lupa dan semua orang lupa, biasalah melayukan mudah lupa!. huhu.



Friday, November 4, 2016

Biskut askar dan jem nenas

semalam saya menerima kiriman pos berupa biskut keras dan jem nenas daripada sahabat saya yang juga seorang perajurit negara. kebetulan dia baharu habis latihan di hutan dan ada lebihan. dia bersetuju memberikan kepada saya atas dasar saya sangat teringin dan mengidam memakannya.
saya boleh beli jika ia ada dijual di kedai, tetapi tak ada. sahabat saya ini memberinya percuma kepada saya atas dasar persahabatan dan saya yang mengidam. terima kasih rodong kas di jerantut.
apabila saya membuka bungkusan semalam, saya terus memakannnya tanpa bertangguh. isteri dan anak-anak pelik melihat gelagat saya, memakannya dengan asyik sehingga kepingan ketiga baharulah saya berhenti dan menyuakan kepada mereka.
isteri saya tidak memakannya. keempat-empat anak saya mencubanya setelah saya menyapukan jem nenas di atas kepingan biskut tebal itu.
" Oh kerasnya, macam batu", kata mira, anak saya yang berusia 7 tahun.
" tak sedap langsung", kata fahmi, si bongsu berusia 6 tahun.
" pelik la rasa dia", pika si anak kedua berusia 10 tahun memberitahu saya.
"macam ni ayah kata sedap?', kata anak lelaki sulung saya, luqman yang berusia 12 tahun.
saya cuma ketawa. saya katakan kepada anak-anak bahawa inilah makanan yang menjadi alas perut para perajurit kita di perbatasan. askar juga ada nafsu selera tetapi dalam menjalankan tugas mereka makan apa sahaja yang ada di depan mata. biskut keras dan jem nenas ini adalah salah satu menu mereka. itulah pengorbanan mereka untuk memastikan kita semua hidup aman bebas merdeka. anak-anak angguk, saya nak mereka tahu betapa susahnya menjaga keamanan negara.
" ayahpun rasa sama macam anak-anak ayah rasa, biskut ini langsung tidak sedap", kata saya. saya ketawa sendiri.
"kenapa ayah minta kawan ayah hantar biskut ni kalau ayah kata tak sedap?", soal mira.
" ayah makan kerana ayah ingin kalian rasa seronoknya masa kecil ayah dahulu, tapi ayah silap. cuma ayah yang merasai seronoknya biskut keras dan jem nenas ini kerana ayah ada kisah manis semasa memakannnya".
" masa kecil dahulu di kampung batu balai, kampung ayah ramai komunis. dalam tahun 1986 macam tu baharulah kampung ayah bebas komunis. jadi setiap masa memang akan ada kompeni askar yang akan tinggal di dalam hutan dan kebun getah sekitar kampung ayah untuk melawan komunis dan menjaga orang kampung".
"dahulu bila pukul 7.00 malam hingga 7.00 pagi, akan ada 'road block' depan balai polis tu. datuk ayah, arwah tok mat antara polis yang menjaga di situ. ayah pernah tinggal di balai polis tu tau".
" bila askar yang menjaga bertukar giliran, maka berderetlah trak-trak askar yang akan lalu di depan rumah tokpa. ayah dan budak-budak lain suka lambai-lambai tangan sambil jerit pada askar-askar tu. selalunya mereka akan lempar biskut, jem nenas, susu, dan kadang-kadang ada juga gula-gula. kami berebut, memang seronok".
" biskut tu dulu lagi keras, dah campak tepi jalan dari trak pun masih tak pecah. dah dapat tu, ayah kongsilah makan ramai-ramai. sedap!". cerita saya panjang lebar.
" tapi adik makan tak sedap pun!", sampuk fahmi.
saya cuma ketawa. dalam hati saya berkata bahawa kamu semua hanya makan yang sedap dan tidak pernah rasa erti susah, tentulah kamu semua tidak dapat merasai seronoknya nikmat yang datang sebagai biskut keras dan jem nenas. zaman kita berbeza dan kamu semua beruntung anakku.
biskut keras askar dan jem nenas itu biarlah ayah makan sendiri.

Thursday, November 3, 2016

Mulut kita, periuk nasi orang.

orang kata HR adalah kerja paling senang. saya setuju. kerana senanglah saya tetap setia sebagai Orang HR sehingga kini.
ye lah, apa susah jadi HR setakat duduk di pejabat menghadap komputer dan membelek kertas. sesekali turun ke lapangan mencari kesalahan orang.
saya akui semua itu betul. tapi ia tidak 100% tepat bagi menggambarkan kerja HR.
ya, HR banyak duduk di pejabat menghadap komputer, tetapi pekerja lain tak tahu berapa banyak kerja perlu di buat untuk menyiapkan gaji. setiap butiran gaji perlu tepat untuk mengelak pekerja tidak mendapat upah yang diusahakan dari titik peluh mereka.
urusan gaji juga tidak boleh sambil lewa kerana selain menjaga kebajikan pekerja, HR juga perlu menjaga majikan/ syarikat. pengiraan gaji yang melibatkan potongan statutori perlu tepat. kesilapan akan menyebabkan majikan di denda dengan kompaun yang nilainya beratus dan beribu ringgit.
selepas gaji, terpaksa membuat analisis pula. heh.. menjawablah kenapa kos bayaran gaji meningkat, kenapa 'overtime' tinggi sedangkan produktiviti tidak berubah. sakit kepala menjawabnya.
orang kata HR suka cari salah orang. sebenarnya bukan kami cari salah pekerja, tetapi pekerja yang buat salah. jika tak ada salah, 10 tahun kerjapun HR tak usik, apatah lagi memberi surat amaran. kami sebelum bertindak, kami akan turut tenguk rekod-rekod disiplin lepas. jika kesalahan tidak serius atau kesalahan pertama, ramai HR cuma pejam mata. kami tahu jika kami mula bertindak, ada pekerja terpaksa menjawab surat tunjuk sebab. jika gagal ia membawa kepada tindakan disiplin lebih besar termasuk siasatan dalaman, penggantungan kerja dan akhirnya di buang kerja.
orang HR macam saya seringkali tidak rasional, sekejab marah dan sekejab baik. kami juga manusia.
semalam, dekat 10 minit saya marah-marah di kawasan 'production' kerana kes seorang pekerja bangladesh. dia membuat sesuatu yang saya tidak sukai dan menyebabkan pekerja lain yang menjadi mangsa kemarahan saya kerana kebetulan pekerja tersebut telah keluar ke klinik. malah saya juga berkira-kira tidak akan melanjutkan permit kerjanya buat tahun ke 10 yang akan berakhir 12/10/2016. ya, keputusan di tangan saya.
hari ini, pagi-pagi lagi saya telah memanggil pekerja itu berjumpa saya. saya dapat lihat wajahnya pucat seperti cendawan disesah. sudahlah sakitnya masih belum kebah sepenuhnya, dia juga ketakutan, mungkin dia juga sudah mendengar berita saya memarahinya dan kemungkinan permitnya tidak disambung.
mood saya pagi ini sangat baik, apatah lagi setelah kenyang makan nasi berlauk kelantan. saya bertanya beberapa soalan dan dia menjawabnya dalam gugup. apabila dia banyak membela diri dan menyalahkan pihak-pihak lain saya menyuruhnya menutup mulut. menuding jadi tidak menyelesaikan masalah yang ditimbulkannya itu.
apabila saya menyuruhnya keluar, dia diam. dia bertanya adakah permitnya tidak disambung dan dia akan dihantar pulang. saya melihatnya tanpa berkata apapun. reaksi emosi HR memang sukar dijangka.
" bos, saya tak ada cakap buruk pasal 'you' bos, sumpah!. saya tahu saya ada banyak salah, bos selalu tolong saya. ini kali saya cakap, saya tak buat itu salah lagi. saya mintak banyak maaf".
" kalau bos hantar saya balik bangla, saya musti kena balik. tapi minta bos tolong lagi satu kali. saya rumah ada banyak problem, saya lagi ada sakit. bos satu orang mesti mau tolong saya", rayunya sambil mengalir air mata yang sejak tadi tidak henti-henti.
ya, jika HR seperti saya memberi satu ulasan yang buruk mengenai seseorang pekerja kepada majikan, sudah tentu majikan akan lebih mempercayai HR. kes ini juga sama, jika saya membuat rekomendasi agar pekerja itu tidak disambung permit, minggu depan tentu dia akan dihantar pulang ke negara asal.
tetapi menjadi HR bukanlah medan menunjukkan siapa ada kuasa dan siapa egonya lebih tinggi. kes ini saya tahu saya betul tetapi sebagai HR yang mempunyai budi bicara, ianya tidaklah sampai saya menjustifikasikannya untuk dihantar pulang. ia kerana saya sedar dalam mulut saya menghukum, ada periuk nasi pekerja yang perlu saya jaga.