Tengahari tadi saya tidak makan, jadi saya terpaksa alas perut dengan sesuatu sebelum makan malam. Saya pilih rojak dan teh o tanpa gula.
Saya rasa rojak, manis. Saya menahan sabar. Saya faham masakan orang kelantan biasanya manis-manis. Nasib baik saya pesan teh o kosong untuk menyeimbanginya.
Saya hirup teh panas itu. Mmm... manis? Saya hirup lagi, pun manis. Saya memanggil pelayan yang mengambil pesanan dan membuat air untuk saya, orang yang sama.
"Dik, teh ni letak gula atau tidak?", soal saya tegas, namun dalam tertib ketimuran.
"Tak letak gula bang!. Tadi abang cakap nak teh o kosong, jadi saya tak letak gulalah.", jawabnya lembut.
Hati saya juga telah lembut apabila dijawab dengan sopan, pelanggan adalah raja. Hati dan matanya juga tidak buta kerana mampu bezakan antara 'abang' dan 'pakcik'.
Saya merenung wajahnya, dia kelihatan mencari kebenaran di sebalik jawapannya sendiri. Saya tenang dan menghirup air sekali lagi sebelum mengeluarkan kata-kata seterusnya. Orang bijaksana sentiasa menilai berkali-kali sebelum bertindak. Pemilik kedai yang berada di meja sebelah juga sudah membetulkan kekuda menanti kalau-kalau reaksi saya keras terhadap pelayan wanitanya itu.
"Mmm... memang manis air teh o kosong ni. Awak kata tak letak gula.. saya yakin ia manis sebab air ni dah tercampur dengan manisnya senyuman awak", kata saya selamba sambil mengetuk meja dengan tangan.
Pemilik gerai ketawa berdekah-dekah sambil mengetuk meja. Dia menunjukkan isyarat ibu jari tangan kepada saya. Saya yakin dia juga lelaki romantik dan peminat ayat-ayat pick up power.
Pelayan itu berlalu dengan senyuman manis yang meleret. Lain kali dah tak boleh datang sini dah, kang dia letak racun tikus. ialah, kata orang bila hati sudah suka, beri racun jadi penawar. Huhu.
No comments:
Post a Comment