Thursday, August 6, 2015

DAUD GAGAP

BAB 78 : DAUD GAGAP
Seperti mana-mana pelajar lainnya, aku juga tidak suka dengan pelajar senior. Mereka berlagak seolah-oleh mereka lebih pandai, dan habis semua makwe yang cantik-cantik di sekolah di anggap milik mereka.
Namun, ada ramai juga senior yang baik dan membantu. Dalam ramai-ramai senior, ada seorang yang sangat suka berdampingan dengan aku. Namanya Daud. Aku memanggilnya Daud Gagap lantaran kekurangan dalam pertuturannya. Dia langsung tidak marah, malah itulah gelarannya di sekolah dan juga di kampung.
Berkomunikasi dengan Daud perlu kesabaran dan ketelitian. Kalau tak, satu haram pun tak faham. Berbanding orang lain yang lebih suka mengajuk pertuturannya, aku lebih suka berbual dan cuba memahami setiap tutur katanya.
Setelah Daud gagal Sijil Rendah Pelajaran (SRP), kami terputus hubungan. Dia hilang entah ke mana, khabarnya dia mengikut tauke Cina sebagai mandur projek perumahan di bandar Kuantan. Manakala aku pula meneruskan persekolah seperti biasa.
Akhirnya, semasa aku pulang bercuti semester, aku terserempak dengan Daud di Hentian Bas Temerloh. Kebetulan dia sedang menunggu buah hatinya yang tiba dengan bas ekspress disitu. Dari jauh, dia melaung namaku. Aku rasa bangga bila dia masih mengingatiku. Kami berpelukan mesra melepas kerinduan.
Daud mengajak aku menjamu selera di medan selera di belakang stesen bas itu, tapi aku menolak. Aku bimbang terlepas bas untuk pulang ke rumah. Daud ada mempelawa untuk menghantar aku pulang, tapi aku menolak dengan hormat kerana aku turut ditemani beberapa kawan yang mengikutku pulang.
Kami berbual mesra, sesekali kedengaran deraian ketawa. Biasalah, kami mengungkit kisah-kisah lucu di masa lalu. Kami berpisah apabila bas ke Jerantut hendak bertolak.
Malam itu aku mengarang sebuah sajak untuk sahabatku itu.
(i) Bertemu sahabat lama,
Yang gagal SRP,
Membongkar memori silam,
Yang sukar dilupa, selamanya.
(ii) Melangit Pujian,
Atas kejayaanku, menara gading,
Kota ilmu, kota material,
Kota yang tiada kesudahan.
(iii) Sebenarnya aku tewas,
Ditimpa langit pujian ku terima,
Kerana dia lebih berjaya,
Dalam penerokaan kendirinya.
(iv) Ford Hitam metalik,
Motorola GSM di saku,
Dan ditemani suri yang cantik,
Cukup membuat aku terpempan,
Sahabat tanpa kelulusan.
(v) Sesungguhnya Tuhan itu Maha Kaya,
RezekiNya ada dimana-mana,
Sahabatku berbahagia bersama kerjayanya,
Sedang aku memerah minda,
Untuk segulung kertas bergelar Ijazah,
Yang belum menjanjikan kehidupan,
Seperti sahabatku.
Nukilan,
Izman Pauzi
Kampung Batu Balai
21/10/1997
9.40 Malam.
nota 1: ini antara kompilasi ceritera 'kampung aku dulu..'. ia kisah peribadi aku masa membesar di kg damak dan batu balai, jerantut dahulu. ia karya bukan untuk cetakan, sekadar dibukukan untuk anak cucu.
nota 2 : buku pertama aku 'jangan sentap, okey!' keluaran alaf 21 karangkraf masih ada sedikit didalam simpanan. jika berminat boleh whatapps ke 0182678719. harga cuma rm15, poslaju rm6.


Nota : dipetik daripada facebook peribadi izman pauzi.

No comments: