Wednesday, September 23, 2015

Kuasa Veto

Kuasa Veto.
Malam itu aku memanggil mesyuarat tergempak seluruh keluargaku, semua hadir. 6/6 korum yang terdiri daripada aku sebagai pengerusi tetap, dan diikuti dengan isteri dan anak-anakku Luqman Hakim, 11 tahun; Norsyafiqah Izzati, 9 tahun; Nor Amirah Zulaikha, 6 tahun; dan Arif Fahmi, 4 tahun.
" Assalamualaikum. Tujuan ayah memanggil mesyuarat tergempar ini adalah untuk membincangkan dan membuat keputusan mengenai langkah-langkah penjimatan bagi mengawal kewangan keluarga kita.
Seperti semua tahu, ekonomi dunia merosot teruk dan kerajaan kita juga gagal menangani kejatuhan nilai ringgit. Ia memaksa syarikat-syarikat termasuk kilang ayah untuk mengurangkan kos termasuk usaha memotong pelbagai elaun pekerja bagi mengelakkan kilang daripada ditutup dan ayah juga terpaksa menganggur.
Jadi, kos yang kurang perlu, kita kena hapuskan.
Ini antara langkah yang ayah telah putuskan dan berkuatkuasa hujung bulan ini;
Pertama. Ayang, kosongkan peti sejuk satu pintu tu. Guna yang 2 pintu sahaja.
Kedua. Astro dah lebih Rm100 sebulan, ayah ingat nak potong tukar Njoi. Ia percuma", kataku panjang lebar.
Isteri mengangkat tangan dan bersuara, "Mana adil macam ni bang, dah panggil mesyuarat, kenalah buat undian". Usul si ibu mendapat sokongan semua anak. Sebagai seorang pemimpin keluarga yang mengamalkan demokrasi berparlimen, aku akur.
"Okey, siapa sokong kita tutup astro dan guna satu peti sejuk sahaja, sila angkat tangan", usulku. Hanya satu sokongan, iaitu aku seorang.
"Baiklah, dengan ini ayah umumkan bahawa usul tutup astro dan satu peti sejuk diteruskan dengan sokongan sebulat suara", aku membuat keputusan.
Isteri dan anak-anak tidak berpuas hati. "Kenapa terus pula, kan hanya satu je sokong, dan 5 lagi tak sokong. Kata demokrasi berparlimen", sungut isteri. Anak-anak juga mengiakan kata-kata ummi mereka.
"Ya, semua orang memang ada satu undi, tapi ayah ada kuasa veto. Ala, macam di PBB. Jadi ayah boleh guna kuasa veto tu untuk membatalkan keputusan yang ayah rasa akan merosakkan ekonomi keluarga kita. Mulai bulan depan, kita setuju tak guna astro lagi, dan peti sejuk juga pakai satu sahaja", kata aku sebagai keputusan akhir yang tidak boleh dicabar dimana-mana mahkamah.
"Tak nak potong astlo!, nanti tak ada katun. Adik tak nak kawan ayah!", anak bongsu membantah dalam pelat sambil berlari masuk ke biliknya.
"Mmm... kalau abang ikut cakap anak tak nak potong astro, ayangpun tetap nak guna 2 peti sejuk jugak. Abang tak boleh lebihkan anak daripada isteri ye", kata isteri pula.
Aku bungkam. Walaupun sebagai pemimpin aku mempunyai kuasa veto, rupanya kata-kata isteri lebih berbahaya daripada bom atom. Patutlah ramai pemimpin lebih takutkan isteri daripada rakyat.
Dan sehingga sekarang aku masih belum melaksanakan kedua arahan eksekutif itu biarpun aku mempunyai kuasa veto. Ia ibarat 'Ditelan mati emak, diluah mati bapa'.

No comments: