Saturday, May 14, 2016

Ketumpang Air @ Sireh Cina

Herba : Ketumpang air @ Sireh cina.
Pokok herba ini dikenali sebagai ketumpang air. Namun ia turut dikenali sebagai pokok sireh cina, sireh air, sireh bunian, sireh laut dan sireh pasir kerana daunnya seperti daun sireh.
Ia hidup melata dan sering menumpang di pasu bunga dan laman rumah. Kerana kejahilan kita tentang khasiatnya, ia sentiasa dibuang dan dibunuh. Ya, dahulu saya juga begitu.
Antara khasiat pokok ini ialah menurunkan tekanan darah tinggi, gout, jangkitan pundi kencing/ kencing kotor, buasir, kencing manis, kayap, demam, sakit gigi, sakit sendi, kayap, ulser mulut, cirit-birit, batuk, sakit kulit dan selsema.
Selain dimakan mentah dan dimasak untuk khasiat, ia juga boleh diamalkan seperti berikut :-
1. Demam - ramas dalam air dan lumurkan di dahi dan kepala.
2. kayap - lumur dan sapu pada kayap.
3.kayap - tumbuk dengan bedak sejuk dan tampal pada kayap.
4. sakit gigi - ramas dan letak tempat gigi sakit.
5. sakit gigi - tumbuk bersama bawang putih dan letak tempat gigi sakit.
6. sakit lutut - ramas/lumat dan tempek pada lutut. balut dengan kain/bandage.
7. sakit kulit - hancurkan dan lumur pada sakit kulit sebelum tidur.
contoh cara pemakanan sireh cina ialah :
1. dimakan segar sebagai ulam atau dicicah dengan budu.
2. sedap dibuat sayur tumis ketumpang dengan menumis bawang putih dan merah, ikan bilis dan sedikit garam.
3. dicampur dengan telur yang dikocok untuk dijadikan telur dadar. 4. sebagai salad sayur dengan mencampurkan sireh cina ini dengan sos mayonis/ thousand island untuk lebih sedap. Tambah sedikit baby tomato, kobis unggu, lobak, timun dan salad. Yummy!
Cara tanam? Entahlah, dilaman saya ia hidup sendiri dengan subur dan beranak pinak. Semuanya rezeki kurniaan Allah.
nota : posting ini telah diedit untuk tambahan khasiat dan cara pemakanan hasil perkongsian kawan-kawan di fb dan whatapps.

Thursday, May 12, 2016

Fish Spa @ Central Market, Kuala Lumpur

Fish spa.
Kebetulan habis sesi latihan pada tengahari, saya melajakkan diri ke pasar seni untuk makan tengahari.
Apabila kenyang merarau, saya merayau sekitar gerai di central market itu. Saya seronok melihat ia benar-benar menjadi pusat perniagaan antarabangsa.
Saya juga bangga apabila bangsa malaysia sudah terlalu tinggi pendapatan perkapitanya dan membiarkan sahaja perniagaan mengguna kederat dan menjaja muka untuk meraih dagangan dibuat oleh peniaga bangladesh dan pakistan. Orang Indonesia pula menjadi orang suruhan.
Untuk menjamin makanan halalan toyyiban, sekumpulan anak melayu masih lagi berjualan keropok lekok, air bancuh, putu buluh dan nasi tomato di luar bangunan. Syabas anak melayu!
Sambil tercari-cari pelukis potret untuk mengabadikan wajah saya yang sudah sedikit kurus, saya terjumpa kedai spa ikan yang diurus oleh saudara kita dari bangladesh. Saya mencubanya, ia cuma rm10 untuk 15 minit.
Ya ampun! Gelinya apabila ikan-ikan menggigit kulit kaki. Jika tidak kerana ada makwe albania disitu, awal-awal lagi saya dah angkat kaki. Saya tahan kegelian biarpun terasa seperti nak inzal.
Alhamdulillah, apabila selesai kulit kaki saya licin seperti telur dikupas. Ia kembali seperti semasa saya teruna sunti dahulu, kaki dipijak berbayang darah, begitulah istilah sucinya saya.
Pengalaman pertama ini cukup mengujakan, namun sekali cukup. Geli beb!

Sunday, May 8, 2016

Selamat Hari Ibu 2016

Selamat hari ibu.
Al fatihah untuk Ibu saya yang saya panggil mami. Beliau telah meninggal dunia sejak saya darjah 2 lagi. Disebalik watak papa saya yang garang, mami adalah watak pelindung dan kerap memanjakan saya.
Isteri saya, nik norfaizar telah menjadi ibu apabila lahirnya luqman hakim bin izman, 12 tahun yang lalu. Sebagai pasangan muda yang tidak tinggal bersama keluarga/ mertua, hal keibubapaan kami belajar sendiri melalui pengalaman dan pengamatan lampau.
Sukarkah menjadi ibu?
entahlah!, ia bergantung kepada persepsi masing-masing.
Sewaktu Isteri saya pertama kali bergelar ibu, saya ada disisinya di bilik bersalin hospital jerantut. Sakitnya dia, azabnya dia melahirkan, saya dapat rasa. Cuma, berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Saya menggenggem erat tangannya, memberinya semangat dan kasih sayang. Gigil saya melihat proses kelahiran itu, patutlah ibu yang mati bersalin diberi gelaran 'syahid kecil' kerana prosesnya sangat menyakitkan.
Ya, biarpun kelahiran anak itu menyakitkan, majoriti ibu tidak serik bersalin lagi. Isteri saya juga begitu, setiap dua tahun akan menjadi ibu lagi, sehinggalah 4 anak; 2 putera dan 2 puteri. Syukur alhamdulillah, semuanya berjalan lancar tanpa masalah.
Mencari rezeki untuk keluarga adalah susah, keluar awal pagi dan pulang sudah malam. Namun menjadi ibu pada pandangan saya lebih susah. Semasa saya sibuk bekerja, isteri memangku tugasan ketua keluarga; mengurus rumah dan anak-anak sepenuhnya.
Saya bersaksi mata melihat jerihnya isteri bersengkang mata menyusu dan mengurus bayi. Apabila besar sedikit berlumba pula mengemas rumah dengan si anak. Si ibu mengemas di rak dan almari, anak pula mengemas di seluruh rumah. Rumah ibarat tongkang pecah dengan gelagat 4 anakanda kami.
Apabila anak mula bersekolah, saya ingat si ibu lega sedikit lelahnya, namun telahan saya salah. Di hari persekolahan, si ibulah menjadi jam loceng, memandi dan merapikan diri, menyiapkan makanan, bekal, dan berdiri bersama anak menunggu bas sekolah. Sebelum bas sekolah tiba waktu pulang sekolah, si ibu sudah tercongok menanti. Jaraknya cuma 10 langkah untuk anak pergi sendiri tetapi naluri ibu terlalu melindungi anaknya. Pulang sekolah pagi, rutin berulang untuk sekolah petang.
pulang penat di rembang senja, anak dijamu cicipan sambil menonton drama korea. Pakaian di badan ditanggalkan si ibu sedang anak ralit makan sambil menonton cereka. Sambil itu sempat juga menyiapkan makan malam keluarga.
Usai maghrib dan makan, sedang ayah menyandar bagai ular sawa kenyang, si ibu pula sibuk memeriksa kerja sekolah anak, membantu mengulangkaji dan menyusun buku mengikut jadual. Jika ada kerja yang tertinggal, subuh esoknya si ibulah yang akan terkocoh-kocoh mengajar anak menyiapkannya. Si ayah macam biasa, tenang sahaja menghirup teh panas.
Hari cuti rutinnya sama biarpun si ayah ada. Saya dilatih membasuh sendiri pakaian dan kasut semasa kecil dahulu, manakala anak saya terlalu dimanja ibunya. Sudahlah pakaian di badan dibasuh si ibu, pinggan makan dibasuh si ibu, kasut di kaki juga begitu. Si ayah tetap tenang, padanya jika kasut tak dibasuh, pakailah yang kotor ke sekolah. Sehingga kini ianya tidak terjadi kerana si ibu yang membasuhnya. Saya sering melarang isteri membasuhnya, tetapi ianya seperti mencurah air ke daun keladi. Bagi si ibu, anaklah segalanya bagi mereka.
Kesalahan? Anak saya bukan malaikat untuk tidak berbuat salah tetapi si ibu sering melindungi salahnya dan sering menjadi galang ganti dengan mengakui itu silapnya. Jika anak dihukum, anak merasa sakit kurang 5 minit sebelum bermain dengan gembira, tetapi sakit itu terus terasa di hati ibu, dan si ayah nanti merasa pembalasannya.
Saya bersyukur, biarpun saya cuma sekejab merasa kasih sayang mami saya, saya kini gembira dapat lihat anak-anak saya merasainya dengan melimpah ruah daripada ummi mereka. Semoga anak-anak saya dapat pula menjadikan ummi mereka contoh terbaik bagi kehidupan mereka kelak.
Selamat hari ibu buat ibu kepada anak-anak saya. Saya respek semua wanita terutama mereka yang bergelar ibu. Anda adalah anugerah terindah dan teristimewa buat melengkapkan hidup kami.

Wednesday, May 4, 2016

Khasiat Kurma Cina

Khasiat kurma merah.
Buah ini dipanggil buah kurma merah kering atau kurma merah china. Namun ia sebenarnya bukan kurma biarpun digelar kurma merah. Ia adalah buah bidara china yang dikeringkan.
Buah ini banyak dijual di pasaraya dan kedai ubat cina kerana khasiatnya namun tidak dipeduli oleh kaum lain. Antara khasiatnya ialah :-
1. Memanaskan badan. Baik untuk ibu dalam pantang.
2. Melancar peredaran darah.
3. baik untuk otot, kulit, rambut dan hormon.
4. Mencegah alahan dan kanser.
5. Merawat rambut gugur.
6. Baik untuk hati.
7. Menurunkan paras kolestrol.
8. Memberi tenaga.
9. Mengecutkan peranakan dan rahim.
Caranya ialah dengan meminum air rendaman buah kurma kering ini. Jika ingin sedikit rasa, boleh juga mencampurkan sedikit gula batu.
Seeloknya sebelum merendam, kelar dahulu buah ini agar zatnya dapat dikeluarkan ketika proses rendaman. Gunakan air yang benar-benar panas. Selain airnya diminum, buahnya juga sedap dimakan. Rasanya sama dengan buah bidara (vietnamese apple).

Tuesday, May 3, 2016

Nostalgia : Berjumpa bakal keluarga mertua

Berjumpa bakal keluarga mertua.
saya ketawa mendengar kisah-kisah pemuda ketika kali pertama berjumpa keluarga bakal mertua di radio sinar fm pagi tadi. saya ketawa kerana sayapun begitu, banyak kali pula tu.
saya mengenali dia sejak tingkatan 5, dia di tingkatan 4 ketika itu. jika hendak dibandingkan dengan kekasih saya yang sama tingkatan 5 atau di tingkatan 3, dia tidak dapat menandingi mereka sedikitpun, umpama langit dengan bumi perbandingannya. jadi, kami tiada sebarang hubungan selain kawan.
tamat persekolahan, dan dalam masa saya mencari kerja, dia muncul kembali. kebetulan saya menghadiri temuduga di shah alam, saya berjumpa dengannya di central market. berbanding dahulu, dia sudah 100% berubah, tiada lagi imej budak pendiam dan AJK puteri Islam. jika dia tidak menegur, saya langsung tidak mengenalinya.
kami berkawan sahaja kerana masing-masing sudah mempunyai pilihan hati. kekasih saya ketika itu masih menuntut di sintok kedah. tinggal di kota ini saya sering kesepian dan sesat jalan, mujurlah si dia selalu ada untuk menunjuk jalan sekitar ibu kota.
dari sahabat, kami sama-sama jatuh hati. tekadnya untuk bertudung semasa awal ramadhan tahun kedua persahabatan kami membuat saya semakin sayang kepadanya. ya, dia tidaklah cantik, dan tidaklah pula berpelajaran tinggi. tetapi sikap ambil beratnya cukup bererti bagi saya.
suatu hari, dia menyatakan bahawa kakak dan abang iparnya ingin berjumpa dengan saya di bandar klang, spesifiknya di bangunan plaza MPK (mydin mall). saya menunggu dengan berdebar-debar.
ketika keluarga kakaknya tiba, saya menyantuni mereka. biasalah, saya memang seorang yang sopan santun dan berbudi bahasa. saya berbual-bual dengan si kakak dan bermain-main dengan bakal anak saudara, sementara menunggu abang iparnya yang sedang memarkir kereta di basement bangunan itu.
si dia cepat-cepat memberi isyarat mata ketika abang iparnya muncul, saya segera merapatinya yang sedang mengendong salah seorang lagi anaknya.
" ko kerja mana?", soal bakal biras saya itu tanpa sempat saya menyalami tangannya. saya menyatakan bahawa saya bekerja di shah alam.
dia bertanya lagi, " kerja apa?". saya dengan senyum menjawab, "saya kerja kilang bang". tangan saya yang dihulur sekian lama tidak disalam langsung.
"sudah! mari balik! kalau takat kerja kilang, bersepah abang boleh cari. buang masa je", jeritnya kepada buah hati saya, dia kemudiannya memanggil mereka balik. belum sempat berbual mesra dan panas punggung, penilaiannya kepada saya adalah hancur. saya dipandang seperti ayam buruk kepala (nota : sengaja saya tukar 'anjing' menjadi 'ayam').
hinakah saya kerja kilang? tak layakkah saya untuk dipadankan dengan adik iparnya yg cuma kerani lepasan SPM?. saya memang kerja kilang tapi sebagai pegawai, ada ijazah universiti. saya dimalukan di hadapan orang ramai di ruang legar plaza mpk, ramai orang tengok gelagat kami. malunya saya.
setelah masing-masing beredar, si dia menelefon saya dan memujuk dengan menyatakan bahawa abang iparnya tidak tahu saya lulusan universiti, dan bekerja sebagai pegawai HR di kilang, dan si abang ipar juga menyalahkan saya kerana tidak bercakap kerja sebenar saya.
"cuba cakap dengan saya, manusia bongkak mana yang akan cakap saya kerja sebagai pegawai sumber manusia di kilang xyz. saya lulusan universiti dengan gaji bulanan sebanyak sekian-sekian apabila ditanya soalan tahap darjah satu anggur "awak kerja apa?".
mood saya memang terbakar kalau dihina begitu. saya dari dulupun tak pernah hina orang kerja kilang walaupun mereka pekerja bangladesh atau negara india. kalau saya kerja operator kilang, so what! hinakah saya kerja begitu.
argh! itu semua kenangan. kami tidak berjodohan. dengan gadis kedahpun putus. gadis terengganupun tidak menjadi. perlis apatah lagi. budak jawa banting tu, pun break off. budak teluk kumbar, tak kesampaian juga. banyaklah, apa nak buat, dah nasib orang 'innocent' macam saya, selalu dipermainkan cinta.
apa-apapun, saya tiada dendam pada mereka, harap mereka juga begitu. hidup ini adalah medan mencari kasih sayang dan kepunyaan. cinta pada manusia, dan cinta pada Ilahi. semoga Allah jua yang memberi kebahagiaan untuk saya dan mereka-mereka yang pernah singgah dalam hidup saya dahulu. noktah.

Monday, May 2, 2016

Thosai

Toksei.
Pagi ini kami bersarapan di mamak. Anak-anak dengan roti telur, isteri tersayang memilih tosai dan saya sekadar dua keping roti canai garing.
Saya selalu ketawakan isteri apabila tosainya sampai kerana dia dahulunya tidak menggemarinya. Jangankan makan, merasainya sedikitpun dia tidak ingin.
Sehinggalah suatu malam ketika kami bergabi (gabi = makan tengah malam/ supper), isteri sekadar mahu menemani kami anak beranak tanpa mahu menjamah makanan.
Saya mendesaknya memesan makanan sementara pelayan masih di meja kami mengambil pesanan.
"Ayang toksei makan apa-apa", kata isteri tegas sebagai kata akhir. Saya akur.
Apabila hidangan kami sampai, terselit satu hidangan lain, tosai. Saya tergelak kerana saya dapat agak pelayan dari karala, india itu menyangka isteri saya memesan tosai, padahal isteri saya berkata toksei yang bermaksud tidak mahu dalam dialek kelantan. Ialah, lain padang lain belalang.
Bermula dengan makan kerana terpaksa dan tidak mahu membazirkan rezeki, kini tosai sudah menjadi juadah pilihannya jika saya memilih makan di mamak.
Inilah yang orang kata suka tanpa sengaja.

Sunday, May 1, 2016

Perkampungan Penulis 2016 @ Majalah Anis Mei 2015

Perkampungan penulis 2016 @ anis.
Pertama kali beli majalah anis ini, ia gara-gara ada gambar saya dan teman-teman penulis semasa perkampungan penulis 2016 tempohari.
Ia anis keluaran terbaharu, mei 2016. Artikel itu di muka surat 93.
Alang-alang sudah membelinya, saya membacanya dengan tekun. Ia adalah satu majalah yang sangat berinformasi.