Tuesday, August 9, 2016

Pesanan Untuk Anak-anak

Pesanan untuk anak-anak.
pagi ini saya terpaksa memanggil lagi semua pekerja berhimpun semata-mata ingin berpesan agar mereka tidak bermain 'pokemon go' semasa bekerja. malah saya memberi amaran untuk menguatkuasakan larangan memegang sendiri telefon bimbit semasa waktu bekerja dengan syarikat menyimpannya di dalam loker. bermakna, semasa waktu bekerja, semua telefon bimbit akan diserahkan kepada syarikat untuk disimpan dan akan diserahkan semula kepada pekerja semasa rehat atau pulang kerja.

kejam?
ia tidaklah kejam kerana sudah banyak syarikat membuat peraturan ini sejak puluhan tahun lalu. ianya dibenarkan bagi menjamin keselamatan dan kelancaran proses pengeluaran. tak perlulah sembang soal kecemasan kerana setiap syarikat ada nombor telefon untuk dihubungi bagi menyampaikan pesanan. talian kecemasan 999 kan ada dan pasukan keselamatan seperti polis, bomba, ambulans dan jpam sentiasa dalam siapsiaga membantu orang ramai. jika perlu, berilah nombor telefon pegawai atasan atau HR untuk dihubungi jika keperluan mendesak.

bercakap mengenai pesan dan berpesan ini, saya teringat kisah hari ahad lalu di sebuah pasaraya besar yang hidup segan mati tak mahu di bandar port klang. ketika itu saya membawa 2 anak saya iaitu mira dan fahmi berjalan-jalan untuk membeli jajan mereka. isteri dan 2 lagi anak tidak ikut serta kerana asyik menonton drama korea. biarkanlah, malam nanti giliran saya pula menonton filem tamil.

semasa beratur untuk membayar, di hadapan kami ada satu keluarga melayu sedang membayar. saya cuma memerhati apabila perempuan tua itu mengambil dahulu barangan dari dalam troli dan membayarnya sendiri. kemudian baharulah perempuan muda yang bersamanya mengeluarkan barangannya dan membayar. di belakang perempuan muda itu kelihatan suaminya yang sedang mendokong seorang anak kecil.

menyedari saya dan anak-anak memerhati gelagat mereka, lelaki muda itu berkata, " itu emak saya, dia ada duit sendiri, pencen arwah ayah saya".

masyaallah! saya rasa malu mendengar kata-kata itu daripada seorang anak terhadap ibunya sendiri.
betul, si ibu mampu menyara dirinya dengan duit pencen suaminya, namun tunjukkanlah sedikit kasih sayang dan ehsan untuk ibu tua itu. semasa kamu kecil, duit suaminya dan barangkali duit ibu tua itulah yang sering kamu gunakan tanpa perlu dibayar balik. jika kamu menghitungnya, barangkali seumur hidupmu tidak mampu membayarnya.

ya, barangkali kamu sudah memberinya biaya bulanan. itu memang tanggungjawabmu wahai anak lelaki. lagipun saya lihat, ibu tua itu sekadar mengambil setin susu, sebungkus serbuk kopi dan sebungkus biskut kering, berkirakah kamu untuk membayarnya sesekali semasa ibu itu mengikutmu berbelanja.

di dalam kereta, saya mencium ubun-ubun kedua anak saya itu dan berpesan kepada mereka, "anak-anak, dengarlah pesan ayah ini. bila ayah dan ummi sudah tua nanti, jangan buat perangai macam orang depan kita tadi buat kepada mak dia".

"walaupun masa tu ayah dan ummi ada banyak duit, sesekali masa datang melawat kami, bawalah sesuatu. tak perlu mahal, tetapi sesuatu sebagai ingatan dan kasih sayang".
"pernah tengok ayah balik kampung tangan kosong, atau pergi melawat moyang tak bawa apa-apa?", soal saya. mereka menggelengkan kepala.
" moyang dulu pernah pesan kat ayah, kalau datang melawat rumah ibubapa atau tok nenek, jangan berlenggang dan dengan tangan kosong (nota : ayat sebenarnya lebih kasar iaitu "jangan bawa batu pe**r sahaja). begitu juga jika bawa ibubapa ke kedai/pasaraya, biarpun adakala kita tak banyak duit, bayarkanlah untuk mereka. bukannya setiap hari. mungkin kita rasa susah sedikit kerana habis duit, tetapi Allah akan bagi anak-anak rezeki yang lebih banyak".

"semua faham ke pesanan ayah ni?", soal saya.

"faham ayah", jawab mereka. saya menurunkan brek tangan dan kaki mula menekan pendikit minyak. kereta kemudiannya meluncur pulang.

"semoga anak-anak ayah memahami pesanan itu dan berbakti kepada ibubapa/ibubapa mertua mereka nanti. harapan saya agar sifat baik itu akan menurun kepada anak-anak mereka pula". bisik hati kecil saya.

Allah jua yang Maha Mengatur segalanya.


Nota : dipetik daripada fb peribadi Izman Pauzi

No comments: