Thursday, August 4, 2016

Bersyukurlah

Bersyukurlah.
pagi ini di kilang, saya mengumumkan pembayaran semula elaun khas kenderaan sebanyak rm100 dan rm200 untuk pekerja bermula 1 ogos 2016. elaun ini pernah diberi dan ditarik semula ekoran kemelesetan ekonomi.
saya juga umumkan elaun khas makan malam rm5 untuk pekerja yang bekerja lebih masa selama 4 jam ke atas diteruskan dan diperluaskan untuk semua cawangan. elaun ini dahulunya diperkenalkan untuk bulan ramadhan dan ketika krisis asrama.
keduanya berita ini disambut dengan pelbagai reaksi oleh pekerja. ada yang bersyukur dan ada juga yang menyatakan ia tidak memadai.
saya setuju bahawa semua pekerja sepatutnya dapat lebih dari itu termasuk kenaikan gaji, kenaikan pangkat, pembayaran bonus dan pelbagai kelebihan lain. namun saya juga minta semua pekerja juga berpijak di bumi nyata dan mengukur baju di badan sendiri.
saya juga pekerja yang makan gaji, dan saya seboleh-bolehnya turut berjuang bagi menikmati kelebihan semaksimum mungkin setelah keringat saya digunakan. namun, sebagai pekerja saya sedar tahap ekonomi negara dan kewangan tempat kerja saya.
ramai pekerja seperti saya tidak suka membaca analisis enonomi dan belanjawan, tapi cukuplah sekadar kita buka mata kita luas-luas semasa berjalan. di kota damansara dan klang, saya dapat lihat banyaknya kilang dan kedai ditutup. jadi saya membuat analisa mudah bahawa mereka tidak mampu lagi berjuang untuk perniagaan mereka. siapa mahu berniaga jika hutang berrtimbun-timbun dan tidak mampu membayar gaji pekerja.
pernah dahulu saya ditempelak semasa berucap oleh pekerja saya yang merasa di tipu untuk terus bekerja bersama syarikat.
kata saya, "kita bekerja di sini kerana pilihan kita sendiri. kita yang mohon pekerjaan, dan kita yang bekerja. di luar sana apa ribuan syarikat lagi, pergilah jika kita suka, carilah syarikat dengan gaji dan kelebihan yang kita suka, tiada paksaan".
ada juga pekerja tersebut yang menyahut cabaran saya dan bekerja di tempat lain. alhamdulillah, ada juga yang lebih berjaya, dan ada juga yang selepas sebulan memohon untuk bekerja semula dengan kami. tebu yang mereka pilih, teberau yang mereka dapat. saya menerima mereka semula dengan tangan terbuka, dan tanpa prejudis.
kepada mereka yang bergelar pekerja, jika masih diberi peluang bekerja, bekerjalah dengan jujur dan produktif. jika anda mampu berubah, ubahlah diri anda jadi usahawan pula.
jika selesa makan gaji, bersyukur dan berdoalah agar apabila anda tiba di syarikat, masih ada kerja untuk anda kerana ramai juga tiba di kilang tetapi ia telah ditutup dan majikan pula telah lari.

No comments: