Wednesday, January 6, 2016

Sambal Hitam Pahang

Sambal Hitam Pahang.
Aku bukanlah peminat tegar sambal belimbing buluh ini, tetapi stok untuk makan sendiri sentiasa ada. Boleh makan dengan nasi putih panas ketika keputusan belanja. Itupun sekadar beli runcit-runcit dengan kawan atau diberi ahli keluarga.
Semasa membayar di kaunter tengahari tadi, aku senyum melihat sambal trademark orang pahang ini terjual di seantero tanah jawa ini. Alhamdulillah, semoga sambil hitam ini laris dan menjulang nama pahang sebaris dengan populariti pasukan bola tok gajah, ikan patin masak tempoyak, asam rom biji getah, dan bauksit si debu merah.
Dan tanpa prejudis sebab aku yang membayar dan lidah aku yang merasa, sambal hitam paling sedap aku pernah makan ialah buatan ibu saudaraku di ulu cheka, jerantut; makdik Badariah Daud. Dan satu lagi ialah di warong junifars di no.2 gerai majlis daerah raub di simpang kallang. Keduanya best in the world.
Sambal hitam orang lain juga sedap, termasuk sambal buatan isteriku yang tersayang.
Deria rasa lidah kita berbeza, jadi selera tidak sama. Jika anda ragu kelazatannya, cubalah sendiri.
Jika ada peniaga sambal hitam dalam kenalan aku... bolehlah tinggalkan gambar dan nombor telefon.
Jom bersambal hitam.

Tuesday, January 5, 2016

Merah Air Sireh

Merah Air Sireh.
Aku ketawa terbahak-bahak melihat kelakarnya pengguna fb mempermainkan fenomena air merah di negeri pahang dengan ludahan sireh pekerja asing. what the fish!
akupun dengar penerangan ketua pelabuhan semalam, dan aku sekadar senyum sendiri. biarlah masa mengundi nanti rakyat yang tentukan nasib pihak yang berparti itu.
teringat aku semasa di syarikat lama dahulu. sireh jugalah punca angkara. banyak produk syarikat menjadi rosak kerana di'creet' ludahan air sireh oleh pekerja india dari estet dan pekerja asing warga india dan bangladesh.
jadi, wujud undang-undang tidak bertulis dari pengurusan operasi diluar pengetahuan HR. contohnya; mana-mana pekerja yang ditangkap mengunyah sireh akan didenda RM5.00 (kali pertama), RM10.00 (kali kedua), RM50.00 (kali ketiga) dan diserah kepada HR untuk dibuang kerja jika ditangkap kali keempat.
Undang-undang ini telah menjadi darah daging dan berakar umbi disitu sebelum aku bekerja lagi. sedikit demi sedikit aku cuba menghapuskan sistem feudal ini, namun kurang berjaya sepenuhnya. ia ekoran sistem ini dikawal oleh pemerintah mandur yang berkuasa. jika mana-mana pekerja yang didenda melaporkan kepada HR, mandur akan meminta 'agensi/transporter' untuk tidak lagi menggaji pekerja terbabit, pekerja itu dibuang kerja. begitulah beratnya dosa biarpun sekadar mengunyah sireh sewaktu bekerja.
berbalik kepada lelucon laut merah kerana sireh. kali ini kisahnya juga sama. mana-mana ketua yang mengaitkan merahnya laut akibat tanah planet marikh, pasti nasibnya juga sama. hilang jawatan, dan hilangkan pengaruh.
cuma aku harap tiadalah pula orang berkata air laut itu merah kerana ramai perempuan datang bulan mandi disitu.
choii!

Buku Dan Tutup Tv

Buka dan Tutup TV.
Biarpun persekolahan baharu bermula hari kedua, bekalan kerja dirumah telah membukit. Sejujurnya sejak hari pertama lagi telah diberikan. Aku tiada bantahan. Ia latihan untuk perkembangan minda pelajar setelah lama bercuti. Dengan latihan berterusan, pelajar akan cepat mahir. Iya lah, belakang parang diasah lagikan tajam.
Aku memang melarang anak-anak belajar sambil menonton TV.
"Siap buat kerja sekolah dahulu baru boleh buka tv. Pukul 10 malam tepat kena tutup tv. Gosok gigi, solat dan tidur", arahku tegas. Ketiga-tiga anakku yang bersekolah tunduk akur sambil menjeling jam dinding, sudah jam 9.30pm.
"apa la ayah ni, tv belum buka, macam mana nak tutup!", spontan sahaja fahmi mengomel. Seisi keluarga ketawa. Aku sekadar mengelengkan kepala dengan telatah anak bongsuku itu.

Monday, January 4, 2016

Belajarlah

Belajarlah.
Hari ini hari pertama persekolahan rasmi bagi anak ketigaku, mira. Sesi pagi ini bagi sekolah agama kafa integrasi.
Seronok tengok anak-anak kita sudah tidak lagi meraung macam tersampuk hantu apabila ibubapa meninggalkan mereka di kelas. Yang tidak seronok ialah apabila majoriti ibubapa tidak menghormati lagu negaraku. Biarpun kita tidak bersetuju dengan kerajaan BN, kita wajib menjunjung bendera dan negara.
Sementara isteri mengintai dari luar kelas gelagat mira, aku mencuba juadah kantin.
Nasi lemak kosong / mee = RM1.00
Aneka kuih = 0.40 sen
Aneka sosej / daging burger = 0.50 sen
Fries = RM1.00
Air kotak = RM1.00
Air bancuh = 0.50 sen
Aku cuba Nasi lemak sotong (RM2.50), 3 kuih (0.80 sen) & air kotak (Rm1.00). Nasi lemaknya sedap, agak sedikit untuk aku tetapi mencukupi untuk tembolok budak. Karipap juga sedap, besar dan padat dengan kentang. Tahap isipadu angin karipap sekadar 5%. Ia jauh lebih baik daripada purata isipadu pasaran iaitu 75%.
Kesimpulannya hari ini ialah semua belajar. ibubapa belajar menerima hakikat anak diserah kepada guru untuk diajar. Anak-anak belajar pelajaran, berkawan, menjerit dalam kelas, beratur dalam barisan, dan berebut di kantin.
Ibubapa kena belajar terima anak -anak perlu diberi peluang berdikari dan keluar dari zon selesa.
Ibubapa tu cukuplah sehari berkampung disekolah menunggu anak-anak. Esok jika bimbang, cukuplah sekadar mengintai di kejauhan. Intai anak, bukan intai guru wanita. Ya, aku akui guru-guru wanita sekarang ramai yang cantik. Esok, aku dah tegah isteri mengikutiku ke sekolah. Aku seorang sudah memadai.

Cukuplah Beralasan

Cukuplah beralasan.
Usai menghantar anak darjah 1, aku sekadar melayan anak bongsuku fahmi di rumah.
11.00am masa tamat belajar, aku menunggu mira di pagar sekolah untuk membiasakannya dengan van sekolah. Dan akupun berlalu membiarkan mira disitu. Ya, kali pertama ini mira kelihatan canggung seperti rusa masuk kampung. Sehari dua nanti biasalah dia, alah bisa tegal biasa.
Disebalik kemeriahan ibubapa mengurus anak-anak, di luar pagar peniaga juga menumpang nasib mencari rezeki. Ada penjual jajan, roti dan aiskrim yang dimonopoli warga asing.
Dahulu kita terbiasa melihat bangladesh dan india kerja kilang, sementara pakistan jual karpet. Kini mereka mendominasi pekerjaan menjual aiskrim pula. Kerja berpanas dan untung 2 ke 3 sen satu batang aiskrim manakan menarik minat anak watan kita. Budaya kita ialah melabur rm10,000 hari ini bulan pertama untung rm30,000. Bulan kedua keluar modal sikit untuk bayar muka avantador untuk tarik orang percaya. Bulan ketiga bank negara batalkan skim dan semuanya bekerja seperti biasa. Aduh..Tebal muka diludah dan dicerca downline yang tak sempat kaya.
Dahulu orang kita ke dumai indonesia menikah disana kerana cantik dan rajinnya wanita mereka. Kini wanita kita pula habis disapu warga asing kerana kerajinan mereka bekerja.
Bekerjalah kerana Allah menyatakan bahawa Dia tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itu mengubahnya sendiri.
Cukuplah beralasan dan asyik menyalahkan YB ahmad maslan.

Seragam atau Buku?

Seragam atau Buku?
Balik dari sekolah tadi aku berbual dengan jiranku, mr wong. Kami berbual kosong mengenai keperluan sekolah anak termasuk pakaian seragam, buku dan yuran.
Aku bercerita kepadanya tentang harga seragam yang mahal, gst, yuran sekolah yang tinggi, dan buku serba wajib. Tidak terkecuali aku ceritakan tentang kisah sedih depan mata ada ibubapa yang tidak mampu beli buku.
Dia membuka mulutnya; "you jangan marah saya cakap aa... you olang melayu suka jaga muka. Semua mau beli balu. Nanti kawan tengok anak baju lama... tak syiok!".
"Kita cina aa, kita tak kisah baju balu ka, seluar balu ka, boleh pakai lu pakai. Anak-anak kita control maa.. ".
" kita sekolah cina buku mahai. Yuranpun ada mahai. Tapi kita mesti beli. Anak mau study maa... mesti ada buku. Kalau ada cina tak cukup wang, dia boleh bayar sikit-sikit maa... sekolah mesti kasi buku".
"Kalau itu olang lagi tak ada wang, kita kasi tong-tong loo. Sekolah ada tabung, kita cari duit buat konsert, hari kantin, lantern festival, moon cake festival.. semua festival ada. Lagi, ada school olds boys sana kaya-kaya punya olang kasi tolong. Education is no. 1. Kita tak cukup makan tak apa, tapi kalau ada anak, mesti kumpul rm100,000 kulang-kulang untuk dia punya kolej. You melayu senang, goverment tolong".
Aku sekadar mengangguk. Kata-katanya cukup nyilu dihati.

Sunday, January 3, 2016

Jangan Sentap, Okey! @ Pilihan Sebenar Pembaca Sinar

Jangan Sentap, okey! @ Pilihan Sebenar Pembaca Sinar.
Alhamdulillah, permulaan tahun 2016 yang positif buat buku aku, 'JANGAN SENTAP, OKEY!' apabila di promosi di akhbar SINAR HARIAN hari ini, Ahad 03/01/2016, di muka surat Z3.
Sama ada ia memang PILIHAN SEBENAR PEMBACA seperti di canang akhbar ini atau sekadar karya masuk bakul angkat sendiri, hanya rakan pembaca yang boleh menghakiminya.
Sebagai penulis, aku sekadar menulis dari hati dan berkongsi pengalaman yang sedikit sebagai panduan dan renungan bersama. Kata rakan pembaca, ada kisah sayu hingga berjurai air mata, dan banyak juga kisah lucu hingga berdekah-dekah ketawa. Malah ada juga membaca tiada perasaan apa-apa. Anda jua yang menghayatinya.
Kepada sahabat yang menyokong dan memiliki buku aku, TERIMA KASIH sekalung budi aku ucapkan. Harap jika ada perkenan Sang Pencipta untuk buku seterusnya, berikanlah sokongan yang sama.
Ya, nikmat apakah yang hendak kau dustakan. Terima Kasih Tuhan.