Monday, January 4, 2016

Seragam atau Buku?

Seragam atau Buku?
Balik dari sekolah tadi aku berbual dengan jiranku, mr wong. Kami berbual kosong mengenai keperluan sekolah anak termasuk pakaian seragam, buku dan yuran.
Aku bercerita kepadanya tentang harga seragam yang mahal, gst, yuran sekolah yang tinggi, dan buku serba wajib. Tidak terkecuali aku ceritakan tentang kisah sedih depan mata ada ibubapa yang tidak mampu beli buku.
Dia membuka mulutnya; "you jangan marah saya cakap aa... you olang melayu suka jaga muka. Semua mau beli balu. Nanti kawan tengok anak baju lama... tak syiok!".
"Kita cina aa, kita tak kisah baju balu ka, seluar balu ka, boleh pakai lu pakai. Anak-anak kita control maa.. ".
" kita sekolah cina buku mahai. Yuranpun ada mahai. Tapi kita mesti beli. Anak mau study maa... mesti ada buku. Kalau ada cina tak cukup wang, dia boleh bayar sikit-sikit maa... sekolah mesti kasi buku".
"Kalau itu olang lagi tak ada wang, kita kasi tong-tong loo. Sekolah ada tabung, kita cari duit buat konsert, hari kantin, lantern festival, moon cake festival.. semua festival ada. Lagi, ada school olds boys sana kaya-kaya punya olang kasi tolong. Education is no. 1. Kita tak cukup makan tak apa, tapi kalau ada anak, mesti kumpul rm100,000 kulang-kulang untuk dia punya kolej. You melayu senang, goverment tolong".
Aku sekadar mengangguk. Kata-katanya cukup nyilu dihati.

Sunday, January 3, 2016

Jangan Sentap, Okey! @ Pilihan Sebenar Pembaca Sinar

Jangan Sentap, okey! @ Pilihan Sebenar Pembaca Sinar.
Alhamdulillah, permulaan tahun 2016 yang positif buat buku aku, 'JANGAN SENTAP, OKEY!' apabila di promosi di akhbar SINAR HARIAN hari ini, Ahad 03/01/2016, di muka surat Z3.
Sama ada ia memang PILIHAN SEBENAR PEMBACA seperti di canang akhbar ini atau sekadar karya masuk bakul angkat sendiri, hanya rakan pembaca yang boleh menghakiminya.
Sebagai penulis, aku sekadar menulis dari hati dan berkongsi pengalaman yang sedikit sebagai panduan dan renungan bersama. Kata rakan pembaca, ada kisah sayu hingga berjurai air mata, dan banyak juga kisah lucu hingga berdekah-dekah ketawa. Malah ada juga membaca tiada perasaan apa-apa. Anda jua yang menghayatinya.
Kepada sahabat yang menyokong dan memiliki buku aku, TERIMA KASIH sekalung budi aku ucapkan. Harap jika ada perkenan Sang Pencipta untuk buku seterusnya, berikanlah sokongan yang sama.
Ya, nikmat apakah yang hendak kau dustakan. Terima Kasih Tuhan.

kasut Marco

Kasut Marco.
Usai makan malam, anak-anak memeriksa kelengkapan sekolah. Esok sudah mula bersekolah setelah satu purnama berlibur.
Biarpun poket berlubang-lubang dek tajamnya aliran keluar biaya sekolah, melihat senyum di wajah polos anak-anak, lukanya terubat.
Melihat anak menggaya kasut baharu, aku terimbau kisah silamku. Berbeza dengan anak-anakku yang gembira melaram kasut baharu berjenama, aku dahulu bermuram durja. 
Begini kisahnya....
Seminggu sebelum sekolah dibuka, datukku mula terkial-kial membeli kelengkapan. Baju, seluar dan stokin, kami sekadar berbelanja di pekan sahari Damak. "Murah berbanding berbelanja di Bandar Jerantut", kata datuk. Aku akur.
Ketika itu aku tinggal dengan datuk dan nenek kerana papa berkelana jauh di Kuala Lumpur.
Aku memberontak apabila datuk menyuruh aku memakai kasut lama. "Sudah buruk sangat", kataku. Apabila datuk mula membebel dengan kedegilanku ingin memiliki kasut baharu, aku katakan bahawa aku telah menelefon papa dan dia telah mengirim biaya secukupnya untuk keperluan sekolah kami adik-beradik. Datuk mendengus dan mengambil tali rapia dan mengukur kakiku.
Usai mengaji pada petang itu, datuk menyuakan kasut baharu kepadaku. Aku mengambil tanpa rela. Air mataku mula bergenang menahan hiba.
"Kasut Marko!", bentak hatiku. Padaku, ini kasut india pergi menoreh getah di estet. Kasut putih dengan getah hijau itu benar-benar membuat hatiku terbakar. Sebenarnya aku dah beberapa kali menelefon papa untuk dibelikan kasut aliph seach yang sedang popular semasa itu. Papa setuju mengirim belanja kerana dia tahu aku sentiasa mendapat nombor 1 hingga 3 setiap kali peperiksaan. Kasut idaman itu akan menjadikan aku lebih bersemangat belajar nanti ( nota : sebenarnya aku ingin melaram didepan gadis yang ku minati nanti).
Aku menangis semahunya. Bila sudah hilang sebak didada, berbekal duit rm1.00, aku menelefon papaku. Di pondok telefon awam di depan klinik bidan itu aku menangis mengadu kepada papa. Papa berjanji mengirim kiriman wang pos rm100 kepada aku hari itu juga untuk membeli kasut idamanku.
Keesokkan harinya, aku menerima resit untuk mengambil wang di pejabat pos jerantut. Dalam diam aku segera menaiki bas Pahang Lin Siong ke jerantut dan menunaikan kiriman wang itu.
Aku akhirnya membeli kasut idamanku itu di Rajan Store. Gembiranya Tuhan sahaja yang tahu. Malam itu aku tidur sambil memeluk kasutku itu.
Pada pagi pertama persekolahan, sebelum menyarung kasut baharu ke kaki, aku menggigit hujung kedua kasut itu. Aku akur kata nenek, " jika kasut baharu tidak digigit hujungnya, kasut itu pula akan menggigit kaki kita".
aku melangkah ke sekolah dengan bergaya. Sayangnya, sehingga persekolahan berakhir aku langsung tiada makwe. Pelajaran cemerlang dan memiliki kasut aliph seach bukan ukuran memikat makwe jika rupa tiada.

Friday, January 1, 2016

Selamat Tahun Baru 2016

Selamat tahun baru 2016.
Alhamdulillah, sedar subuh tadi rupanya dah tahun 2016. Aku tidur awal malam tadi dengan harapan 2015 tidak berakhir begini cepat. Sayangnya masa terus berlalu walaupun aku sekadar tidur dan bermalasan.
Benarlah firman Tuhan, "Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian, kecuali bagi mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran, dan berpesan-pesan dengan kesabaran".
Azam tahun baru 2016?
Jangankan azam tahun 2015, azam tahun baru 1998 pun belum aku langsaikan sepenuhnya. Jadi biarlah azam itu aku simpan sahaja di diari. Ya, kuruskan badan tetap tersenarai dalam impian hati, sama seperti 5 tahun sebelumnya (nota : inilah nasib jika isteri pandai masak).
Dibawah ialah catatan azam tahun baru aku untuk tahun 1998 semasa berusia 22 tahun (nota: 21 tahun 11 bulan). Abaikan tulisan cakar ayam aku itu. Tulisan buruk tidak mencerminkan hati penulisnya juga buruk.
Nota kaki : aku berdoa azam korang tahun ni nak beli buku aku 'Jangan sentap, okey !'. Aku akan aminkan.

Selamat Tahun Baru 2016-Part 2

Selamat tahun baru 2016 - part 2.
Terima kasih teman-teman untuk ucapan selamat tahun baru sama ada melalui fb, whatsapp, mesej, atau sekadar niat dihati tanpa dizahirkan dengan kata-kata atau tulisan. Aku menghargainya.
Ramai juga yang aku terlebih dahulu memberi ucapan, walaupun adakala tidak dialukan kerana bidaah. Aku menghormatinya.
Posting pagi tadi aku sertakan nukilan hati aku mengenai azam tahun baru 1998 masa usia aku muda belia, 22 tahun. 
Kali ini aku letak azam aku tahun 2005 pula. Kali inipun aku masih muda cuma sudah beristeri dan ada anak.
Biasanya aku memang ada nukilan setiap tahun baru, nanti aku geledah dairi lagi.